Seorang doktor berkongsi kes seorang pesakitnya yang masih muda tetapi sudah mempunyai masalah kematian dan kecacatan sperma kerana tabiat merokok tegar selama 20 tahun.

Doktor tersebut melalui akaun Twitter ‘Zaquan Zack‘ memberitahu pesakitnya itu sudah berkahwin selama enam tahun, tetapi masih tidak mempunyai cahaya mata.

Selepas mengkaji tahap keseburan pesakitnya, Zaquan mendapati pesakit mempunyai 120 juta sperma dalam 4.1 mililiter air maninya. Tetapi daripada 120 juta sperma tersebut, hanya 20 juta iaitu 17% spermanya yang masih hidup. 100 juta sperma atau 83% lagi telah mati.

Kemudian daripada 20 juta sperma yang hidup itu, hanya 2% sahaja yang normal bentuknya. Lagi 98% berbentuk tak normal seperti bersaiz besar, kecil, leper, bulat, berkepala dua dan sebagainya.

Zaquan turut memberitahu dalam tempoh enam tahun tanpa cahaya mata, hanya isteri pesakitnya sahaja yang menjalankan ujian kesuburan.

“Rupanya puncanya dari suami. Jangan ingat anu boleh tegang, mendayung boleh berjam lama, pancut boleh lebih semeter, anda sudah subur.

“Buang ego. Periksa air mani, ok? Malangnya, [pesakit] adalah perokok tegar sudah hampir 20 tahun.”

Menurut Zaquan lagi, merokok adalah faktor terbesar yang akan menyebabkan kualiti sperma menurun kerana kandungan rokok bersifat teratogenic (menyebabkan kecacatan) kepada sel-sel badan.

Beliau turut memberi amaran kepada perokok:

“Kebanyakan lelaki yang ada masalah seperti keputusan analisa sperma ini tidak mempunyai apa-apa masalah kesihatan lain. Malah mereka juga tiada sejarah keluarga yang tidak subur.”

Menjawab soalan netizen yang bertanya apakah rawatan sewajarnya untuk pesakit ini mendapatkan cahaya mata, Zaquan memberitahu satu-satunya pilihan pesakit ini adalah rawatan IVF (in-vitro fertilization).

“Jangan buang masa. Pergi buat IVF. Bahagian perubatan akan memperbaiki kualiti sperma [melalui] makanan tambahan anti-oksidan dengan pilihan tambahan pentoxyfilin untuk tempoh tiga bulan.”

Zaquan turut memberitahu pesakit boleh berhenti merokok untuk memperbaiki keadaan. Tetapi dikhuatiri usahanya terlalu lambat untuk memulihkan kualiti spermanya 100%.

“Ya berhenti merokok boleh memperbaiki kualiti sperma. Tapi konsepnya macam ini: apa-apa penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya, cegah sebelum ada komplikasi.

“Bila dah ada kesan akibat merokok ini, berhenti merokok boleh elak penyakit daripada merebak. Tapi nak pulihkan semula 100% itu peluangnya rendah.”

Beliau juga memaklumkan kos membuat analisis sperma ini hanyalah RM70.

“Ujian boleh dibuat di klinik kesuburan di bawah jabatan O&G hospital-hospital kerajaan untuk pasangan yang susah nak dapat anak. Kalau nak check untuk diri sendiri, anda boleh buat di klinik swasta yang menawarkan servis ini.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai kesihatan: