Apabila Laporan Tahunan 2021 Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai pemerdagangan manusia yang meletakkan Malaysia pada Tier 3 dikeluarkan, sebenarnya ia banyak dibantu oleh usaha penguatkuasaan itu sendiri. Laporan ini adalah berdasarkan tahap pematuhan standard minimum dalam memerangi jenayah pemerdagangan manusia dan dikeluarkan pada setiap tahun.

Laporan akhbar menunjukkan seramai 829 orang dipercayai mangsa pemerdagangan orang diselamatkan dalam 190 serbuan polis di seluruh negara dalam tempoh Januari tahun lepas hingga Mei tahun ini. Daripada jumlah itu, 74 orang telah mendapat Perintah Perlindungan (PO) tahun lepas manakala 65 orang memperolehnya dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, seramai 599 orang diselamatkan hasil 146 serbuan sepanjang tahun lalu manakala 230 orang pula diselamatkan dalam 44 serbuan dari Januari hingga Mei tahun ini. Selain itu juga, seramai 243 orang ditahan kerana disyaki terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia sepanjang tahun lepas manakala 110 orang ditahan tahun ini.

Akta 466 bantu banteras aktiviti pemerdagangan manusia

Kredit gambar: https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/07/834499/malaysia-turun-tahap-3-laporan-pemerdagangan-manusia-2021

Bermula dari 1 September 2020 hingga 25 Januari tahun ini, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah menjalankan ribuan operasi penguatkuasaan. Penguatkuasaan berterusan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) oleh JTKSM penting dalam memastikan negara terus berupaya membanteras elemen buruh paksa dan pemerdagangan orang dalam industri perburuhan.

Penguatkuasaan Akta 446 tersebut menetapkan keperluan kepada majikan dan penyedia penginapan berpusat untuk mendapatkan Perakuan Penginapan daripada JTKSM. Sejak dikuatkuasakan, pihak Ibu Pejabat JTKSM dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri juga melaksanakan penguatkuasaan menyeluruh bagi memastikan majikan dan penyedia penginapan berpusat patuh kepada Akta ini.

Permohonan perakuan penginapan yang dicatatkan dalam tempoh dua bulan ini adalah sebanyak 2,668 permohonan merangkumi 472 majikan dan 51 penyedia penginapan berpusat. Sektor pembuatan adalah penyumbang tertinggi iaitu sebanyak 1,562 permohonan.

Sepanjang September hingga akhir Oktober tahun lalu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui JTKSM dan JTK negeri menjalankan 1,322 aktiviti penguatkuasaan dan pemeriksaan di seluruh Semenanjung yang merangkumi 1,305 majikan dan juga 17 penyedia penginapan berpusat. Pematuhan secara komprehensif terhadap Akta 446 akan membuktikan bahawa Malaysia patuh terhadap piawaian yang digariskan oleh pihak Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam aspek membanteras elemen buruh paksa.

Pendakwaan yang akan dibuat oleh JTKSM

Kredit gambar: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/788945/300-pekerja-bersesak-dalam-rumah-kongsi-yang-kotor

Seramai 59 majikan bakal didakwa di mahkamah mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) Pindaan 2019 setakat Mac tahun ini. Antara pertuduhan akan dikenakan ialah mengikut Seksyen 24D, Seksyen 24H dan Seksyen 24J akta tersebut, serta Peraturan 3 dan Peraturan 4 bawah Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020.

Pertuduhan bagi Seksyen 24D adalah ketiadaan perakuan penginapan, manakala Seksyen 24J pula gagal menyediakan penginapan berasingan untuk pekerja berlainan jantina. Selain itu juga, sebanyak 124 kertas siasatan berkaitan sudah dibuka membabitkan pelbagai sektor termasuk pembuatan sarung tangan getah dan perabot, pembinaan, peruncitan serta perkilangan di Semenanjung.

Sebelum dipinda pada 2019, Akta 446 hanya mencakupi aspek perumahan dan penginapan pekerja dalam sektor perladangan yang melebihi 20 hektar serta perlombongan. Namun kini, undang-undang itu dikuatkuasakan ke atas semua sektor, selain memperuntukkan peraturan baharu berhubung standard perumahan dan kemudahan pekerja.

Sepanjang penguatkuasaan Akta 446 bawah pindaan Ordinan Darurat, 3,256 majikan telah diperiksa membabitkan 17,576 penginapan untuk tempoh 26 Februari hingga 11 Mac lalu, dengan lapan kertas siasatan telah diberi izin kompaun.

Bantu salurkan maklumat kepada Polis

Kredit gambar: https://www.thesundaily.my/home/no-more-compromise-with-employers-violating-act-466-labour-department-CG5338260

Menurut PDRM, jenayah pemerdagangan manusia adalah jenayah rentas sempadan yang menjadi isu global dan pihak polis amat serius dalam membanteras jenayah itu. Pihak polis akan terus bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan yang banyak membantu dalam penyaluran maklumat dan mewujudkan kesedaran awam berhubung jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Selain itu juga, pelbagai program tahunan akan dianjurkan termasuk kursus, latihan dalam perkhidmatan, seminar dan bengkel sama ada anjuran dalaman atau kerjasama dengan agensi atau pertubuhan luar bagi membanteras jenayah ini. Sasaran pihak PDRM adalah untuk meletakkan Malaysia di Tahap 1 atau Tahap 2 dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai pemerdagangan manusia.