Agensi penyelidikan dan penarafan antarabangsa, Fitch Solutions Country Risk and Industry Research (Fitch Solutions) mengunjurkan kekangan perbelanjaan pengguna di Malaysia akan berterusan sehingga tahun 2022. Unjuran tersebut dibuat susulan ketidaktentuan ekonomi susulan pandemik Covid-19 yang masih berlarutan

Dalam satu kenyataan, Fitch Solutions berkata kekangan perbelanjaan pengguna di Malaysia menyebabkan unjuran pertumbuhan perbelanjaan isi rumah benar Malaysia bagi 2021 susut kepada 3.0 peratus berbanding unjuran 11 peratus sebelum ini. Penyusutan ini adalah disebabkan beberapa faktor seperti peningkatan kes Covid-19 dan pelaksanaan semula sekatan pergerakan yang lebih ketat.

Menurut Fitch Solutions lagi, sekiranya diterjemahkan dalam angka, perbelanjaan pengguna di Malaysia akan dinilaikan pada RM900 bilion, berbanding sasaran pada tahun 2019 iaitu sebelum wabak Covid-19 sebanyak RM905 bilion.

Maksud perbelanjaan pengguna dan kesan penyusutannya

Kredit gambar: https://www.happyfresh.my/blog/news-event-promo/grocery-shopping-online-tesco-happyfresh/

Secara ringkasnya, perbelanjaan pengguna adalah semua perbelanjaan penduduk untuk pelbagai barangan dan perkhidmatan, dinyatakan dalam segi kewangan. Tidak kira di mana ia dihasilkan atau dihantar: di dalam dan di luar negara.

Dalam bentuk yang kasar, perbelanjaan pengguna diklasifikasikan sebagai perbelanjaan untuk barangan yang tidak tahan lama, perbelanjaan untuk barang tahan lama dan perbelanjaan untuk perkhidmatan. Perbelanjaan pengguna ialah jumlah perbelanjaan ke atas pelbagai barangan dan perkhidmatan.

Apabila rakyat sebagai pengguna lebih berbelanja, kesan penggandaan dalam ekonomi akan dapat dipertingkatkan, mewujudkan peluang pekerjaan dan seterusnya menambahkan hasil pendapatan rakyat. Sebaliknya sekiranya rakyat kurang berbelanja, impak negatif akan kembali diterima oleh ekonomi tersebut.

Jualan runcit bagi suku pertama 2021

Kredit gambar: https://www.nst.com.my/news/nation/2018/04/351915/tesco-grows-smaller-stores

Menurut Fitch Solutions lagi, jualan runcit di Malaysia terus lemah pada separuh pertama tahun ini. Pertumbuhan yang berlaku hanya dari asas yang rendah berikutan kekurangan kelonggaran yang ketara dalam sekatan pergerakan yang memberi kesan kepada pengguna dan peruncit.

Fitch Solutions menjangkakan sekatan berterusan dalam perjalanan antara daerah dan antara negeri di Lembah Klang yang menyumbang sekitar 60 peratus penjualan runcit di negara ini akan terus melambatkan pemulihan ekonomi. Bagaimanapun, sekatan pergerakan ini akan terus mempercepat pengembangan sektor e-dagang negara. Indeks penjualan runcit dalam talian yang memberikan gambaran tentang aktiviti e-dagang terus meningkat dengan mencatat pertumbuhan 23.1 peratus sekiranya dibandingkan dengan peratusan tahun lalu.

Pertumbuhan tersebut bagaimanapun masih belum boleh menggantikan perdagangan tradisional pasca Covid-19. Tahap perkembangan ekonomi sebelum Covid-19 hanya akan berlaku apabila negara ini dapat memberi vaksin secukupnya kepada penduduk bagi membolehkan pembatalan sekatan pergerakan secara beransur-ansur.

Menurut laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), pemberian vaksin penuh untuk rakyat Malaysia berada pada kadar 22.5 peratus setakat 11.59 malam, 23 Julai 2021.

Sektor eksport sebagai penyumbang utama pemulihan ekonomi

Kredit gambar: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/752064/eksport-malaysia-meningkat-24-peratus-suku-ketiga-2020

Eksport bersih dijangka akan menjadi penyumbang utama kepada keseluruhan pertumbuhan Malaysia tahun ini dengan jangkaan sumbangan 1.7 mata peratusan. Pemulihan berterusan dalam rakan dagang utama seperti China dan Singapura, Fitch Solutions percaya eksport barangan akan sekurang-kurangnya mencatatkan sedikit peningkatan pertumbuhan pada 2021, terutama selepas menguncup sebanyak 1.3 peratus pada 2019 dan 8.7 peratus pada 2020.

Bagaimanapun, eksport perkhidmatan akan terus berprestasi lemah dengan sektor pelancongan berdepan cabaran gelombang ketiga penularan pandemik. Import juga akan terus menguncup secara ketara, dengan tinjauan suram bagi penggunaan swasta dan dua dinamik yang bertentangan ini akan membantu menyokong keseimbangan perdagangan.

Fitch Solutions juga menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar Malaysia bagi 2021 kepada 10.0 peratus berbanding 11.5 peratus sebelum ini.