Selangor sah menangguhkan semua bazar Ramadan di negerinya untuk bulan puasa akan datang umum Menteri Besarnya, Dato’ Seri Amirudin Shari petang tadi.

“Kerajaan negeri baru lepas bermesyuarat, dan Setiausaha Kerajaan Negeri sendiri akan mengeluarkan arahan, bahawa kita akan menangguhkan atau pun membatalkan bazar Ramadan sehingga tiba masa yang bersesuaian.

“Ini kita tetapkan melainkan jika pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan menyarankan bazar Ramadan selamat untuk dianjurkan.

Namun, pembelian dan penjualan makanan pada bulan Ramadan akan digantikan secara atas talian. “Mungkin akan ada bazar Ramadan online pula lepas ini,” jelas Amirudin.

Sebelum ini, kerajaan Selangor melaporkan sedang mengkaji keperluan penganjuran bazar Ramadan di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) susulan penularan wabak Covid-19 di Malaysia ketika ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, kerajaan negeri sudah berbincang dengan semua pengarah pelesenan PBT.

“Kerajaan sedang mengkaji dan akan membuat pengumuman dalam masa yang terdekat. Menteri besar akan umumkan keputusan.” 

Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan beberapa kawasan di Selangor akan diisytiharkan sebagai kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini selepas pihaknya mendapati terdapat 1 atau 2 kawasan di Selangor mempunyai taburan jangkitan tertinggi.

Dalam kemas kini KKM pada Ahad, 4 daerah di Selangor iaitu Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang telah disenaraikan sebagai zon merah Covid-19.

Sebelum ini, Terengganu mengambil keputusan membatalkan penganjuran bazar Ramadan di semua kawasan PBT pada tahun ini bagi menangani penularan wabak Covid-19 secara menyeluruh.

Langkah Selangor dan Terengganu ini menuruti langkah sama yang telah diumumkan oleh kerajaan negeri Sabah, Melaka dan Negeri Sembilan.

Kerajaan negeri lain pula dijangka akan mengumumkan keputusan pembatalan bazar Ramadan dalam masa terdekat.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai impak wabak COVID-19 kepada kehidupa harian rakyat Malaysia: