Baru-baru ini tertular video yang memaparkan pergaduhan yang difahamkan melibatkan pengawal keselamatan dan pasangan suami isteri. Ia berlaku di sebuah kondominium di Sentul, Kuala Lumpur.

Tindak tanduk kedua-dua suami isteri tersebut yang merupakan penyewa di salah sebuah unit kondominium itu dirakam oleh kamera litar tertutup. Mereka turut mengeluarkan ugutan dan cuba melakukan kekasaran fizikal.

Menerusi notis yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pengurusan Residensi Awani memaklumkan bahawa kedua-dua individu yang merupakan penyewa di sana. Mereka dikatakan sedang memarahi seorang pengawal keselamatan dengan kata-kata kasar dan kesat.

Susulan insiden itu, pihak pengurusan kondominium itu turut memaklumkan akan mengambil tindakan lanjut. Laporan polis juga telah dibuat terhadap pasangan terbabit atas ugutan dan cubaan melakukan kekasaran fizikal.

Kejadian ini memperlihatkan kepada kita sisi ketegasan dan cakna perbadanan pengurusan Residensi Awani terhadap penyewa unit di sana. Penulisan ini membincangkan tentang beberapa bidangkuasa perbadanan pengurusan perumahan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013.

Boleh mengheret pemilik unit ke mahkamah

Kredit gambar: The Star

Terdapat dua jenis bayaran yang ditadbir oleh perbadanan pengurusan kediaman di bawah Aktra Strata 2013. Seksyen 25(1) Akta Pengurusan Strata 2013 menyatakan:

Setiap pembeli hendaklah membayar caj, dan caruman kepada kumpulan wang penjelas, berkenaan dengan petaknya kepada badan pengurusan bersama bagi penyenggaraan dan pengurusan bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi kepada petak-petak dan harta bersama di dalam suatu kawasan pemajuan.

Penyenggaraan adalah bayaran bagi penyelenggaraan kawasan bersama di dalam strata. Kumpulan Wang Penjelas (Sinking Fund) pula digunaan untuk pembaikan utama di kawasan tersebut.

Sekiranya bayaran tidak dijelaskan, Seksyen 34 (2) membenarkan perbadanan pengurusan kediaman mengheret anda ke mahkamah.

Memberi kelulusan terhadap sebarang ubah suai

Kredit gambar: Gempak

Selain daripada kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), penduduk juga perlukan kebenaran daripada perbadanan pengurusan perumahan bagi unit strata. Ini bagi ubahsuai rumah yang melibatkan penambahan dan perubahan struktur asal rumah.

Kebanyakan pemilik tidak mengambil berat berkenaan kelulusan ini. Kesannya bukan sahaja ubahsuai ini tidak dapat menaikkan harga pasaran rumah tersebut, lebih teruk lagi boleh didenda.

Bagi pemilik unit strata, ubahsuai struktur rumah mestilah tidak mengganggu jiran di sekeliling rumah anda. Perubahan kedudukan bilik air contohnya akan memberikan kesan kepada struktur paip kumbahan bagi rumah terdekat dengan anda.

Maka, perbadanan pengurusan perumahan mempunyai kuasa bagi melindungi hak-hak penduduk lain.

Melindungi hak penduduk lain

Kredit gambar: Property Guru

Perbadanan pengurusan perumahan boleh membuat sebarang peraturan-peraturan baru atau meminda peraturan sedia ada apabila keadaan memerlukan. Ini tertakluk kepada Akta Pengurusan Starata 2013. Seksyen 32(3), Akta tersebut menyatakan:

Badan pengurusan bersama boleh, melalui suatu ketetapan khas, membuat undang-undang kecil tambahan atau membuat pindaan kepada undang-undang kecil tambahan itu, yang selaras dengan undang-undang kecil yang ditetapkan bagi mengawal selia kawalan, pengurusan, pentadbiran, penggunaan dan penikmatan bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi kepada petak-petak dan harta bersama.

Ketenteraman penghuni strata, keselamatan dan hal ehwal kebajikan dapat dijaga dengan kuasa yang diberikan ini.