Perjumpaan jemaah ulama seluruh Pakistan pada 14 April lepas memutuskan bahawa solat jemaah lima waktu dan solat Jumaat di masjid akan diteruskan kerana ia salah satu daripada servis mustahak (essential service).

Menurut laporan media, jemaah ulama Pakistan menambah walaupun solat jemaah diteruskan, langkah-langkah berjaga tetap akan diambil.

Keputusan ulama Pakistan itu diambil berikutan arahan kerajaan Pakistan yang melanjutkan perintah kawalan pergerakan susulan penularan wabak COVID-19. Beberapa industri dalam essential services bagaimanapun diberikan kelonggaran untuk terus beroperasi.

Berbeza di Malaysia, kerajaan Pakistan tidak melarang solat jemaah, termasuk solat Jumaat, diadakan di masjid. Tetapi bilangan jemaah mesti dihadkan kepada maksimum lima orang sahaja.

Jamiat Ulama Islam, Jamiat Ulama Pakistan, Jamiatul Islami dan Tanzimul Islami yang bermesyuarat mengenai isu ini pada Selasa lepas memberitahu cadangan kerajaan Pakistan mengehadkan solat jemaah kepada maksimum lima orang sahaja sebagai ‘tidak praktikal’.

Wakil jemaah ulama tersebut, Mufti Taqi Usmani kemudiannya mengumumkan keputusan untuk meneruskan solat jemaah di masjid kepada umum selepas mesyuarat tersebut.

Mufti Taqi Usmani merupakan ulama terkenal di Pakistan dan merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Syariah Pakistan.

Menurut Usmani, antara langkah berjaga-jaga yang bakal diambil oleh mereka dalam solat jemaah tersebut adalah:

1. Jarak mencukupi antara barisan dan individu semasa solat dilakukan.

2. Orang tua, pesakit COVID-19 dan orang yang menjaga pesakit COVID-19 solat di rumah sahaja.

3. Semua jemaah mesti terus balik rumah selepas solat.

4. Permaidani masjid perlu dikeluarkan dan lantai masjid dibasuh dengan cecair nyahkuman setiap kali selepas solat.

5. Cecair nyahkuman disediakan di pintu masuk masjid.

6. Semua jemaah wajib memakai topeng muka.

7. Semua jemaah mesti mengambil wuduk dari rumah

Selain itu jemaah ulama Pakistan juga mengumumkan akan menggantikan bahagian bahasa Urdu dalam khutbah Jumaat dengan maklumat cara-cara mencegah COVID-19.

Kerajaan Pakistan dalam satu kenyataan rasmi oleh Menteri Agamanya, Noorul Haq Qadri memberitahu mereka akan membuat keputusan berhubung isu solat jemaah pada 18 April nanti.

Baca juga artikel kami lain yang mungkin menarik perhatian anda: