Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan solat Jumaat, solat berjemaah dan aktiviti ceramah di masjid dan surau di negeri itu ditangguhkan sehingga 31 Mei depan.

Ini juga bermakna tiada solat sunat Hari Raya Aidilfitri di semua masjid dan surau seluruh Selangor pada tahun ini.

Hari Raya Aidilfitri dijadualkan jatuh pada 24 Mei.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata keputusan itu berkuatkuasa serta merta bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Munir juga memberitahu baginda Sultan bertitah, jika wabak itu dapat dibendung dan diatasi dalam tempoh lebih awal daripada tarikh tersebut, maka arahan baharu akan dikeluarkan.

“Keputusan melanjutkan penangguhan itu diputuskan dalam satu mesyuarat khas, antara Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini (Isnin).

“Solat Jumaat hendaklah digantikan dengan Solat Zuhur dan solat fardhu manakala Solat Sunat Tarawih pula hendaklah dilakukan di rumah masing-masing.”

Sultan Selangor turut bertitah supaya setiap rakyat serius mencegah jangkitan COVID-19 dengan duduk di rumah, menjaga kebersihan diri dan kesihatan serta mengamalkan penjarakan sosial.

“Sultan Selangor turut menzahirkan kebimbangan Baginda terhadap 6.5 juta penduduk Selangor, yang mungkin akan terdedah kepada jangkitan COVID-19 sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil dengan bersungguh-sungguh.

“Baginda berharap tidak ada lagi rakyat negeri ini yang akan dijangkiti dan meninggal dunia akibat wabak tersebut,” kata beliau.

Baginda Sultan turut mengingatkan semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mereka-reka berita palsu, yang boleh menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.

“Baginda dukacita dengan penyebaran berita-berita palsu (fake news) dan video-video palsu (fake videos) berkaitan wabak ini yang semakin menular.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai impak wabak COVID-19 di Selangor: