Dinilaikan antara USD$7-10 billion, Amazon dilaporkan sedang menyusun pelan untuk membeli Metro-Goldwyn-Mayer Studios Inc iaitu satu daripada lima studio perfileman gergasi Hollywood. Ini bermaksud, pelanggan Amazon Prime bakal menikmati filem-filem yang dimiliki oleh MGM seperti James Bond, The Handmaid’s Tale, Rocky, Stargate, Robocop, Legally Blonde, Vikings dan arkib filem yang bermula sejak 97 tahun lalu.

Menurut laporan, bidaan pertama Amazon bernilai RM37.1 bilion (USD$9 bilion). Nilai tersebut berpadanan dengan penilaian kewangan MGM disamping hasrat syarikat tersebut untuk dijual sejak Disember tahun lalu lagi dilihat sebagai faktor yang akan memudahkan proses ini.

MGM Studios diasaskan pada tahun 1924 apabila seorang ahli perniagaan Marcus Loew berjaya memiliki dan menyatukan tiga entiti perniagaan filem iaitu Metro Pictures, Goldwyn Pictures, and Louis B. Mayer Pictures. Pemilik MGM Studios acap kali bertukar tangan dan pemilik terkenalnya adalah Mendiang Kirk Kerkorian, seorang bilionair Armenia-Amerika Syarikat.

Pernah memfailkan notis kebankrapan pada pertengahan 2009, MGM Studios kini dimiliki oleh sekumpulan syarikat permodalan yang bernaung di bawah MGM Holdings Inc. Antara pemegang saham terbesar adalah Anchorage Capital Group dengan pegangan sebanyak 35 peratus.

Pengambilalihan ini dilihat bakal mengukuhkan lagi kedudukan Amazon Prime yang sedang bersaing hebat dengan Netflix dan Disney Plus. MGM mempunyai arkib sebanyak lebih 4,000 filem dan siri televisyen berdurasi 17,000 jam, dengan francais James Bond dan Rocky dilihat paling bernilai.