Wabak influenza sebenarnya telah lama membawa ancaman yang serius terhadap kehidupan manusia. Sebagai contoh, influenza yang bermula sejak tahun 1910 menjangkiti hampir satu perempat daripada populasi dunia dan mengakibatkan kematian lebih 100 juta orang. Sebilangan besar negara di dunia pada waktu itu menerima kesan yang amat dahsyat akibat wabak ini.

Sejarah Disebalik Pandemik ‘Manchuria’

Kredit: https://www.thinkchina.sg/photo-story-manchurian-plague-outbreak-and-malayan-doctor-wu-lien-teh

Maklumat mengenai penyakit ini bermula secara sporadik. Terdapat sebuah kawasan di China, di mana penduduknya tiba-tiba jatuh sakit dalam jumlah yang luar biasa. Kemudian laporan akhbar mula muncul. Sebilangan besar daripada mereka jatuh sakit di sepanjang laluan pengangkutan utama. Berita kematian demi kematian punya menyusul. Dalam beberapa bulan sahaja, hampir 60,000 penduduk telah mati sebelum penyakit ini dapat dikawal.

Benar, berita ini kedengaran seperti apa yang berlaku di Wuhan pada Disember 2019 dan Januari 2020. Sebaliknya, ia berlaku hampir 100 tahun lalu di timur laut China dari akhir tahun 1910 hingga awal tahun 1911. Pandemik Manchuria yang berlaku pada ketika itu dikatakan bermula daripada haiwan bernama marmot ataupun tupai tanah yang besar. Kemudiannya, ia tersebar melalui manusia kepada manusia yang lain.

Penyelamat Bernama Dr Wu Lien-teh

Kredit: https://en.wikipedia.org/wiki/Wu_Lien-teh

Ketika itu, Manchuria diperintah oleh kerajaan China di bawah Dinasti Qing.  Maka kerajaan dipersalahkan akibat lambat bertindak bagi menangani pandemik ini lalu meragut banyak nyawa. Akhirnya pemerintah Dinasti Qing pada waktu itu memerintahkan seorang doktor pakar perubatan awam bernama Wu Lien-teh untuk menyiasat penyakit ini. Pandemik ini dikenalinya sebagai wabak pneumonia yang sangat mudah menular dan tersebar dari seorang manusia kepada manusia yang lain melalui pernafasan.

Dr Wu Lien-teh bersama pakar-pakar perubatan China dari dalam dan luar negara akhirnya memberikan beberapa cadangan yang diterima pakai oleh pemerintah Qing pada ketika itu untuk mengawal wabak ini. Pesakit diasingkan dan diletakkan di dalam kuarantin, jauh daripada kawasan yang padat. Mayat-mayat pesakit dibakar bagi mematikan virus. Penduduk di kawasan terjejas tidak dibenarkan untuk keluar dari rumah. Kemudiannya, beliau mencipta pelitup muka, iaitu satu alat pelindung pernafasan bagi memudahkan pekerja perubatan yang merawat pesakit wabak ini untuk bekerja dan membantu mereka.

Pada hari ini, pelitup muka tersebut dikenali sebagai N95 yang akhirnya digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Dr Wu Lien-teh, anak kelahiran Pulau Pinang

Kredit: http://faqar.blogspot.com/2013/01/ppinang-tubuh-pertubuhan-dr-wu-lien-teh.html

Tahukah anda, insan berjasa ini dilahirkan di Pulau Pinang pada 1879 dan pernah bersekolah di Penang Free School sebelum mendapat biasiswa Queen yang berprestij daripada kerajaan British untuk melanjutkan pengajian di Universiti Cambridge pada 1896.

Beliau juga berjaya mengubah kepercayaan masyarakat China terhadap sistem perubatan barat di atas kejayaannya melakukan bedah siasat bagi mengetahui punca wabak Bacillus Pestis atau lebih dikenali dengan nama wabak bubonik.

Dr Wu juga telah diberi kepercayaan penuh untuk memulakan pemodenan terhadap sistem perubatan China yang sebelum ini amat bergantung kepada sistem perubatan tradisional dengan membuka North Manchurian Plague Prevention Service, sebelum mengasaskan National Medical Association pada tahun 1915. Kemudiannya, beliau terus menabur bakti dalam bidang perubatan sehingga dilantik menjadi pengarah pertama Pusat Kuarantin Negara China pada 1930 di Shanghai.

Kembali menabur bakti di Malaya

Dalam tahun 1939, Dr Wu kembali ke Malaya dan menabur bakti kepada masyarakat tempatan di Ipoh sebagai seorang doktor. Beliau juga pernah memulakan kutipan derma dan menyumbang wang ringgit semasa pembukaan Perpustakaan Perak, yang kini kita kenali sebagai Perpustakaan Tun Razak, Ipoh.

Beliau terus menjadi seorang doktor sehingga akhir hayatnya. Nama beliau diabadikan di beberapa tempat di negara kita seperti nama Jalan Wu Lien Teh di Ipoh dan di Pulau Pinang. Terdapat juga sebuah kawasan perumahan di Pulau Pinang yang mengabadikan nama beliau sebagai nama taman perumahan tersebut.

Pada hari ini, bertarikh 10 Mac 2021 Google telah mengabadikan Dr Wu Lien-teh sebagai Google Doodle bagi menghargai jasa-jasa beliau, khususnya dalam bidang kawalan wabak berjangkit.