Semua aktiviti di masjid serta surau termasuklah solat berjemaah di seluruh negeri Johor dititahkan supaya ditangguh sehingga 28 April depan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar selaras dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri pada Jumaat lalu.

Keputusan melanjutkan penangguhan itu diputuskan dalam pertemuan dengan Mufti Negeri, Datuk Yahya Ahmad, di Istana Pasir Pelangi, hari ini. Ianya diharap dapat membantu dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19 di negeri tersebut.

Penangguhan itu termasuklah solat sunat terawih dan aktiviti lain seperti memasak bubur lambuk di masjid menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi.

“Hanya tiga orang pegawai masjid yang dibenar melaksanakan laungan azan dan pelaksanaan solat berjemaah lima waktu dan solat terawih di masjid, iaitu imam, bilal, dan noja (bertanggungjawab menjaga kebersihan).

“Bagi menghidupkan syiar Ramadan, institusi berkenaan dibenarkan untuk menggunakan alat pembesar suara bagi bacaan ayat suci al-Quran 10 minit sebelum azan Maghrib, selain bacaan al-Quran serta tarhim 15 minit sebelum subuh,” titah baginda yang dimuat naik di Facebook rasmi baginda, hari ini.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim turut menasihati pasangan yang berhasrat mendirikan rumah tangga supaya bersabar dan menangguhkan dahulu majlis akad nikah, selain tidak berkumpul beramai-ramai di kediaman.

Keputusan penangguhan aktiviti masjid dan surau di negeri Johor juga seiring dengan titah Sultan Selangor semalam yang menitahkan penangguhan aktiviti di masjid dan surau seluruh negeri Selangor sehingga 31 Mei depan.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai impak wabak COVID-19 di negara kita: