Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei membuat gelanggang badminton di ruang tamu rumahnya untuk mengajar anaknya bermain semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam video yang dimuat naik di akaun rasmi Instagram beliau pada 11 April lepas, Chong Wei mengalihkan perabot-peaboot di ruang tamunya sebelum menggantung jaring dan mula mengajar anaknya bermain badminton.

Chong Wei dilihat mengajar dua anak lelakinya, Kingston (berumur 7 tahun) dan Terrance (berumur 4 tahun) teknik-teknik servis dan pukulan dalam sukan yang pernah menobatkannya sebagai pemain nombor satu dunia.

Dua anak tersebut dilahirkan selepas Chong Wei berkahwin bekas pemain perseorangan wanita negara, Wong Mei Choo pada 9 November 2012.

Setakat ini, video tersebut telah ditonton sebanyak lebih 300,000 kali.

Menulis kapsyen di video tersebut, Chong Wei memberitahu keputusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melanjutkan PKP hingga ke 28 April ‘satu keputusan yang baik’:

“Saya rasa keputusan melanjutkan PKP satu keputusan yang baik tetapi sukar. Semua orang kena jaga kesihatan fizikal dan mental. Lupakan keluhan dan ketakutan anda, dan mula lihat perkara positif seperti dapat menghabiskan masa dengan keluarga.

“Ingat, ada banyak lagi orang yang kurang bernasib baik daripada kita.”

Datuk Lee Chong Wei merupakan bekas seorang pemain badminton profesional Malaysia. Beliau merangkul pingat perak di temasya Sukan Olimpik 2008, 2012 dan 2016.

Beliau juga menjadi rakyat Malaysia pertama yang layak ke pusingan akhir acara perseorangan lelaki, sekaligus menamatkan kemarau pingat Olimpik Malaysia sejak tahun 1996.

Pencapaian ini mengurniakan gelaran Datuk kepadanya.

Beliau mengumumkan persaraannya dari arena badminton profesional pada 13 Jun 2019, sekaligus menamatkan khidmat 19 tahun beliau untuk negara.

Baca juga artikel kami lain yang mungkin menarik perhatian anda: