Saintis berjaya mencipta sejenis enzim bakteria mutan yang mempunyai kebolehan mengurai dan mengitar semula botol plastik dalam masa beberapa jam.

Enzim tersebut yang ditemui di kompos daun berjaya mengurai botol plastik kepada blok pembinaan kimia lebih ringkas yang kemudiannya boleh diguna untuk menghasilkan botol baru yang berkualiti tinggi. Teknologi kitar semula sedia ada hanya mampu menghasilkan plastik untuk pakaian dan permaidani.

Syarikat yang menemui enzim ini, Carbios, berkata penemuan mereka ini bakal memberi impak dalam dunia kitar semula dalam masa 5 tahun. Mereka telah bekerjasama dengan beberapa syarikat besar seperti Pepsi dan L’OrĂ©al dalam projek enzim ini.

Penemuan ini berpotensi untuk mengurangkan berbilion tan sampah plastik yang mencemari Bumi dan mengancam kehidupan laut. Saintis sudah lama berkempen supaya manusia mengurangkan penggunaan plastik. Tetapi Carbios memberitahu kitar semula juga penting kerana plastik ada manfaatnya.

Plastik mempunyai manfaat penting dalam pembungkusan makanan, perubatan dan pengangkutan kerana kekuatan bahan dan kemurahan kosnya. Tetapi masalah utamanya adalah kesukaran bahan ini untuk dilupuskan.

Enzim ini diperkenalkan buat kali pertama kepada dunia melalui kertas kajian yang diterbit oleh jurnal Nature pada 8 April lepas.

Kerja penemuan dilakukan dengan menjalankan saringan 100,000 mikroorganisme termasuklah bakteria yang bertanggungjawab menguraikan daun.

Saintis di Carbios menganalisa enzim di bakteria penguraian daun tersebut sebelum memutasikan genetiknya untuk mengurai botol plastik. Eksperimen mereka berjaya. Botol plastik tersebut berjaya diurai dalam masa 10 jam dan bahai yang terurainya boleh digunakan untuk membuat plastik yang lebih berkualiti.

Carbios berkata kos enzim tersebut hanya 4% kos untuk menghasilkan plastik dari petroleum.

Menurut Carbios, botol plastik tersebut perlu dihancur, kemudian dipanas sebelum ditambah dengan enzim. Hasil uraian enzim bakteria ini kemudiannya oleh digunakan untuk membuat plastik yang lebih mahal daripada pembuatan plastik konvensional.

Carbios menjangkakan operasi kitar semula plastik ini dapat dilakukan secara besar-besaran sekitar tahun 2024 atau 2025.

Prof John McGeehan merupakan ketua saintis Centre for Enzyme Innovation di University of Portsmouth, yang membuat penemuan tidak sengaja terhadap enzim lain yang turut mampu mengurai botol plastik.

Beliau berkata:

“Tetapi enzim yang dicipta oleh Carbios mampu mengurai plastik dalam skala yang lebih besar daripada enzim kami. Ini satu penemuan yang sangat besar.

“Ia membuatkan prospek mengitar semula plastik secara besar-besaran satu kemungkinan yang realistik.

“Ia juga membolehkan manusia kurang bergantung kepada petroleum untuk menghasilkan botol plastik sekaligus mengurangkan pembebasan gas berkarbon dan memberi insentif kepada orang untuk lebih banyak mengitar semula bahan buang plastik.”

Saintis di seluruh dunia sedang bekerja keras untuk mencari jalan biologi untuk mengurai plastik jenis lain pula. Pada Mac lepas, saintis Jerman mendedahkan penemuan sejenis seranggan yang boleh makan polyurethane.

Polyurethane merupakan sejenis plastik yang bertoksik dan banyak digunakan untuk membuat tapak kasut sukan dan perabot.

Baca juga artikel kami lain yang mungkin menarik perhatian anda: