Kerajaan China merancang untuk membina hospital kecemasan untuk merawat dan berhadapan dengan koronavirus yang sedang melanda negara itu.

Sebelum ini di Wuhan, mereka membina bangunan ‘prefab’ dengan 1,000 katil seperti mana yang mereka pernah buat ketika projek mengekang virus Sars yang melanda pada 2002.

Bandar Wuhan, merupakan pusat wabak koronavirus. Dan mereka telah memulakan usaha untuk projek membina hospital 1,000 katil dalam masa hanya 10 hari bagi merawat mangsa-mangsa wabak itu.

Walaupun ianya dianggap mustahil untuk mendirikan hospital dalam masa sesingkat itu. Namun China pernah melakukannya – membina hospital pada masa yang singkat – sebagai tindak balas kepada krisis Sars dahulu.

Pada 2003, semasa wabak Sars 7,000 pekerja di Beijing membina hospital Xiaotangshan di pinggir utara hanya dalam seminggu sahaja.

Pihak berkuasa Wuhan berkata hospital Xiaotangshan, yang juga dibina menggunakan bangunan pasang siap. Kerajaan memberikan arahan untuk menggunakan templat tersebut yang asalnya untuk pembinaan kemudahan baru di Wuhan yang dibina di atas tapak seluas 25,000 meter persegi.

Hospital di China ketika itu melakukan proses pengasingan individu yang sangat ketat. Mereka yang terkena Sars akan ditempatkan di kabin kabin kecil.

Dalam tempoh dua bulan, China berjaya merawat Sars di 7 bandar utama mereka ketika itu, menurut laporan Changjiang Daily. Ia dianggap sebagai “keajaiban dalam sejarah sains perubatan”.

Kemudahan hospital itu ditutup dan dirobohkan serta merta dalam masa kurang daripada dua bulan selepas China disahkan bebas Sars.

Model yang sama akan digunakan kali ini. Hospital yang dibina ini akan dihapuskan dan dirobohkan selepas semua ini selesai kelak.

Jentera untuk membina bangunan, termasuk 35 penggali dan 10 jentolak, tiba di tapak Wuhan pada malam Khamis lalu. Mereka berharap hospital itu siap pada Isnin ini – 3 Februari.

Laporan di China menyebut hospital akan siap dalam masa kurang seminggu.

China State Construction Engineering, salah satu syarikat yang membina hospital itu, berkata pada hari Jumaat, mereka sudah mengerahkan lebih daripada 100 pekerja di tapak pembinaan tersebut.

Televisyen di China memaparkan kesibukan aktiviti di kawasan tanah berlumpur dengan berpuluh-puluh jentera dan trak bertungkus lumus.

Menggunakan bangunan sementara dan pasang siap, bukan sahaja dapat memudahkan pembinaan yang cepat tetapi juga dapat menjimatkan kos.

Di Wuhan, ketika ini, hospital mereka kekurangan katil untuk menampung mereka yang dikuarantin. Setakat ini koronavirus telah menjangkiti lebih 830 orang di seluruh China dan telah membunuh 26 orang.

Sebagai rekod, Sars, atau sindrom pernafasan akut yang teruk, pernah membunuh 349 orang di tanah besar China, dan 299 di Hong Kong pada 2002-2003.