Braces gigi atau pendakap gigi merupakan sejenis alat yang digunakan oleh pakar ortodontik (pergigian) untuk pesakit-pesakit yang mempunyai masalah kedudukan atau susunan gigi yang tidak betul.

Antara skop rawatan yang dikendalikan oleh pakar ortodontik adalah:

  • Mengendalikan masalah oklusi
  • Membantu dalam rawatan restoratif
  • Mengendalikan masalah ketidakseimbangan tulang muka yang melibatkan pembedahan ortognatik
  • Mengendalikan masalah kecacatan kraniofasial (muka dan tengkorak) yang teruk
  • Mengendalikan masalah saluran pernafasan tersumbat semasa tidur (obstructive sleep apnoea)

Menurut satu kajian di Malaysia, 27.1% pelajar sekolah berusia 13-14 tahun didapati memerlukan rawatan ortodontik.

Rawatan ortodontik di klinik-klinik kerajaan di Malaysia mendapat permintaan yang tinggi di mana kos rawatannya diberi subsidi yang besar. Ini telah menyebabkan wujudnya senarai menunggu yang panjang di semua klinik kerajaan.

Peningkatan beban pada perkhidmatan kesihatan kerajaan telah menyebabkan banyak negara menggubal indeks untuk membolehkan pesakit yang mendapat manfaat besar sahaja menerima rawatan kepakaran.

Indeks yang digunakan klinik pergigian kerajaan

Index of Treatment Need (IOTN) adalah indeks klinikal yang diubakan oleh klinik-klinik pergigian kerajaan untuk menilai keperluan rawatan ortodontik.

IOTN telah dicipta di United Kingdom. Ia terdiri daripada 2 komponen iaitu komponen kegigian (the Dental Health Component-DHC) dan komponen kecantikan (the Aesthetic Component-AC). Ia mengandungi 5 kategori, yang menerangkan keperluan rawatan iaitu:

Gred 1: Tidak perlu rawatan– Hampir sempurna
Gred 2: Keperluan rawatan sedikit– Gigi hadapan atas yang sedikit ke depan.
– Gigi yang tidak teratur sedikit.
– Hubungan antara gigi atas dan gigi bawah berganjak sedikit daripada normal dan tidak mengganggu fungsi normal.
Gred 3: Keperluan rawatan sederhana– Gigi hadapan atas yang ke depan (jongang) yang berjarak kurang daripada 6mm.
– Gigitan silang yang mengganggu sedikit fungsi normal iaitu kurang daripada 2mm.
– Gigi sesak yang kurang daripada 4mm terkeluar dari susunan.
– Gigitan terbuka yang kurang daripada 4mm.
– Gigitan dalam yang tidak mengganggu fungsi.
Gred 4: Perlu rawatan– Gigi hadapan atas yang ke depan (jongang) lebih daripada 6mm.
– Gigitan silang yang mengganggu fungsi normal iaitu lebih daripada 2mm.
– Gigitan terbalik berjarak lebih daripada 3.5mm.
– Gigi sesak lebih daripada 4mm terkeluar dari susunan.
– Ketiadaan gigi di mana terdapat ruang yang perlu dirapatkan.
– Gigitan terbuka yang melebihi daripada 4mm.
– Gigitan dalam yang mengganggu fungsi.
– Jumlah gigi yang terlebih daripada normal (supernumerary teeth).
Gred 5: Sangat memerlukan rawatan– Gigi terimpak kerana terdapat penghalang seperti kesesakan, gigi terlebih atau sebab-sebab lain.
– Ketiadaan gigi melebihi satu.
– Gigi hadapan atas yang ke depan (jongang) lebih daripada 9mm.
– Gigitan terbalik dengan jarak lebih daripada 3.5mm dan terdapat masalah fungsi.
– Kecacatan tulang muka dan tengkorak (kraniofasial) seperti sumbing bibir dan lelangit.

Komponen kecantikan (AC) adalah berdasarkan satu siri 10 gambar yang digunakan untuk menilai tahap kecantikan gigi. Penilaian subjektif ini juga harus dibuat oleh pesakit. Skala hairaki untuk komponen kecantikan adalah:

  • Gred 1-4: Tidak perlu rawatan atau sedikit keperluan untuk rawatan
  • Gred 5-7: Sederhana
  • Gred 8-10: Perlu rawatan

Contoh keberkesanan braces gigi

Braces gigi jika dipasang oleh pakar ortodontik boleh memberi kesan positif kepada kualiti hidup pesakit. Ia boleh memberi keyakinan kepada pesakit untuk senyum dan hidup dengan normal secara umumnya.

Kita boleh lihat dalam video di bawah bagaimana pakar ortodontik berjaya mencantikkan susunan gigi pesakit dengan braces gigi:

Apa yang menariknya dalam video di atas, kita akan perasan ada gigi tertanam dalam gusi pesakit rupanya sejak dari mula. Kalau tak pakai braces gigi, memang gigi tersebut akan tertanam selama-lamanya dalam gusi!

Kami pun pelik kenapa ortodontis dalam video tersebut meninggalkan ruang besar di sebelah gigi kacip pesakit?

Rupanya sebelah gigi kacip tersebut ada gigi tertanam dalam gusi. Biasanya ortodontis akan potong gusi untuk membolehkan gigi yang tertanam dalam gusi tersebut keluar dan mengisi ruang yang kosong. Dengar macam seriau. Tapi bila tengok hasil akhirnya, nampak berbaloi!

Ortodontis akan memasang ‘expander yang memerlukan pesakit untuk memakai braces gigi selama beberapa minggu/bulan. Pesakit juga akan diberi ‘kunci’ yang perlu dimasukkan di lelangit untuk meluaskan rahang bagi memberi ruang kepada gigi yang ‘sesak’ atau tertanam dalam gusi.

Kebiasaannya pesakit perlu melakukan prosedur ini sebelum berumur sekitar 16 tahun kerana pada waktu ini, tulang lelangit mulut anda akan mula bercantum menjadi satu unit.

Sebab itulah apabila pesakit yang berumur lebih 16 tahun menjalani prosedur ini, mereka perlu melalui dua fasa:

  1. Fasa memberi ruang kepada gigi sesak atau tertanam.
  2. Fasa memperbetulkan kedudukan gigi yang dah mengisi ruang dalam fasa pertama.

Apabila anda menjalani prosedur seperti dalam video di atas selepas 16 tahun, and atak dapat mengelak daripada kena cabut beberapa gigi untuk memberi ruang kepada gigi lain. Tapi hasil akhirnya, anda akan dapat gigi yang lurus susunannya, tapi mempunyai sedikit jarak antara gigi dengan pipi.

Sekali lagi, seriau mendengarnya. Tapi bila fikir hasil akhirnya, memang berbaloi.

Baca lagi artikel lain yang berkaitan:

Sumber: