Avi Schiffmann merupakan pelajar berusia 17 tahun yang suka bina website (laman sesawang) pada masa lapangnya. Tetapi dalam banyak-banyak laman sesawang yang dibinanya ncov2019.live merupakan kemuncak pencapaiannya sebagai pembangun laman sesawang.

Hal ini kerana ncov2019.live pernah menerima tawaran meletak iklan bernilai USD8 juta (RM34.8 juta) daripada sebuah syarikat.

Laman sesawang pengesan COVID-19

Menyedari hakikat wabak COVID-19 tidak akan berakhir dalam jangka waktu terdekat, Schiffmann mendapat idea untuk bina sebuah website yang mengesan perkembangan kes wabak tersebut secara langsung.

Setiap hari selepas bangun pagi, remaja Amerika Syarikat ini (gambar bawah) memberitahu mengemaskini data kes wabak COVID-19 adalah perkara pertama yang dilakukannya. “Saya dah dua minggu tak buat kerja sekolah,” katanya.

ncov2019.live merupakan pusat sehenti maklumat kes wabak COVID-19 seluruh dunia. Setiap jam, semua maklumat seperti jumlah kes jangkitan, kematian, sembuh dan kadar perubahan akan dikemaskini.

Menurut Schiffmann, semua maklumat ini diperolehinya dari WHO, CDC dan laman sesawang rasmi kerajaan setiap negara.

Uniknya tentang laman sesawang Schiffmann ini adalah, ia turut dilengkapi dengan ciri-ciri baru yang tiada di laman sesawang lain yang menyediakan maklumat sama.

Antaranya ialah kalkulator kadar kemandirian, maklumat asas tentang COVID-19, tips penjagaan kebersihan, simptom dan representasi data melalui peta dunia.

Pernah tak tidur 50 jam

Tugas sukarela ini nyata telah menganggu jadual tidur dan sekolah Schiffmann.

“Saya rasa dah beratus-ratus jam saya luangkan untuk membina laman sesawang ini. Ada sekali, saya pernah tak tidur selama 50 jam secara berterusan. Ia telah mengambil alih kehidupan saya.

“Saya dah tak masuk kelas online selama dua minggu dah.

“Tapi saya gembira. Sebab saya tahu saya dah menyumbang kepada dunia.

Disebabkan laman sesawang beliau meliputi perkembangan kes seluruh dunia, Schiffmann menerima 30 juta pengunjung sehari dari seluruh dunia. Sehingga kini seramai 700 juta orang sudah melawat laman sesawangnya. Dan jumlah ini semakin meningkat.

Tawaran iklan USD8 juta

Disebabkan oleh populariti laman sesawangnya, Schiffmann pernah menerima tawaran daripada sebuah syarikat untuk meletak iklan dengan nilai USD 8 juta (RM34.81 juta). Beliau menolak tawaran tersebut.

“Kalau saya letak iklan saya sendiri, saya boleh buat lebih USD30 juta (RM130.5 juta). Tapi itu bukan matlamat saya buat laman sesawang ini.

“Saya baru berumur 17 tahun. Saya tak perlu duit sampai 8 juta.

Selain itu, Schiffmann juga tak mahu iklan menganggu UI (user experience) pelawat laman sesawangnya. Beliau juga tak mahu diikat kontrak dengan pengiklan untuk membuat sesuatu perubahan yang tidak dipersetujuinya.

“Ada ramai pelawat laman sesawang saya datang dari negara yang mungkin tak mempunyai capain Internet yang laju. Kalau saya pasang iklan, ia akan membuatkan capaian maklumat mereka jadi lembab.

“Tapi untuk menanggung kos server, saya ada letak butang ‘donation’. Tapi jumlah derma tersebut taklah cecah sampai 8 juta.”

Selain tawaran iklan, Schiffmann juga mendapat tawaran kerja daripada beberapa syarikat, termasuk Microsoft. Tetapi beliau tidak berminat untuk menerimanya buat masa sekarang.

“Saya ada beberapa projek saya sendiri yang saya nak sudahkan.

“Tapi melalui tawaran kerja ini juga, saya dapat kenal dengan banyak virtual capitalists dan pelabur. Perkenalan ini mungkin akan membantu saya bila saya nak buat syarikat saya sendiri nanti.”

Salah satu perkenalan paling menariknya adalah dengan Ketua Pegawai Eksekutif Cloudflare, Matthew Prince. Cloudflare adalah servis sekuriti untuk laman sesawang bertahan daripada serangan DDOS.

“Dia (Prince) bagi saya T-shirt Cloudflare.”

WHO patut buat

Ketika ditanya apa rancangannya dengan laman sesawang tersebut bila wabak COVID-19 berakhir, Schiffmann berkata:

“Mungkin saya akan tutup server. Atau mungkin saya akan buat satu halaman yang membandingkan wabak COVID-19 dengan SARS atau Spanish flu.

Beliau bagaimanapun berharap kewujudan laman sesawangnya akan membuatkan WHO sedar tentang kepentingan mempunyai laman web pengesanan mereka sendiri.

“Tanggungjawab bina website pengesanan ini tak sepatutnya jatuh ke bahu seorang remaja macam saya. Orang ramai memerlukan maklumat ini. WHO sepatutnya yang menyediakannya.”

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan: