Pada sidang media Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 1 April 2020 yang lalu, Ketua Pengarah, Tedros Adhanom Ghebreyesus telah membuat kenyataan hanya petugas kesihatan dan mereka yang sakit sahaja perlu memakai topeng muka.

Menurutnya, orang awam yang sihat dan tidak terlibat dalam usaha perubatan COVID-19 tidak perlu memakai topeng muka.

Kenyataan beliau itu kemudiannya menimbulkan banyak persoalan terutamanya daripada pelbagai pihak yang mempunyai pandangan berbeza.

Tedros-Adhanom-Ghebreyesus
Tedros Adhanom Ghebreyesus

Kebanyakan negara berusaha untuk mewajibkan pemakaian topeng muka ketika berada di tempat awam supaya dapat mengelak jangkitan COVID-19 sekaligus merencatkan penularan wabak tersebut.

WHO Saran Orang Ramai Pakai Topeng Muka Juga

Dalam kenyataan terbaharu oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat, 3 April 2020 pula menyatakan pemakaian topeng muka di tempat awam mungkin tidak akan menghalang individu yang sihat daripada dijangkiti koronavirus.

Namun, ia boleh menghentikan individu yang positif daripada menjangkiti orang lain.

“Buktinya jelas, pemakaian topeng di tempat awam tidak semestinya akan melindungi anda.

“Namun jika orang yang dijangkiti memakai topeng muka di tempat awam, mereka kurang berkemungkinan untuk menjangkiti orang lain.

“Ketika ini, daripada perspektif WHO, mereka yang positif harus mengasingkan diri dan kita harus pastikan mereka mengasingkan diri,” kata Dr Mike Ryan, Ketua Pengarah Program Kecemasan WHO pada sidang media, Jumaat.

Tegas Dr Mike lagi, topeng muka gred perubatan seharusnya diperuntukkan untuk pekerja di barisan hadapan.

Utamakan PPE buat ‘Frontliners’

“Kita harus memastikan peralatan perubatan, pembedahan dan topeng bantuan penafasan difokuskan kepada pekerja barisan hadapan.

“Namun, idea untuk menggunakan pelindung mulut untuk elak daripada menyebar jangkitan apabila batuk atau bersin, itu tidak salah,” kata Dr Mike.

frontliners

Pada masa yang sama, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat turut mengubah pendirian terhadap topeng muka.

Kini, CDC mengesyorkan rakyat AS memakai topeng muka ketika berada di tempat awam kerana ia dipercayai dapat elak individu positif daripada menjangkiti orang lain.

Namun, tegas Ketua Bedah AS Jerome Adams, topeng muka bukan menjadi pengganti kepada penjarakan sosial.

Presiden Trump pada sidang media itu, bagaimanapun memilih untuk tidak memakai topeng muka kerana dakwanya, ia adalah satu pilihan sukarela dan bukan mandatori.

Baca juga artikel lain yang berkaitan