Ketika ini Malaysia, seperti negara-negara lain, sedang giat mencari vaksin COVID-19.

Selepas melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberitahu rakyat bahawa langkah seterusnya kita perlu belajar hidup dengan COVID-19 di kala pakar perubatan sedang sibuk mencari penawarnya.

Menurut KKM, selagi kita mengamalkan tiga perkara iaitu penjarakan sosial, penjagaan kebersihan dan tidak berhimpun ramai-ramai, kita boleh membendung penularan wabak pandemik ini. Selepas PKP berakhir, inilah normal baharu dalam hidup kita – sehinggalah penawar COVID-19 berjaya ditemui.

Selagi vaksin COVID-19 belum ditemui, selagi itulah Malaysia dan seluruh dunia perlu berhati-hati. Sebab itulah penting bagi kerajaan untuk mencari vaksin atau setidak-tidaknya memberi kerjasama supaya penghasilan vaksin dapat dipercepatkan.

Tapi apa yang sedang Malaysia buat dalam usaha untuk mencari vaksin COVID-19? Ini adalah tiga usaha yang kerajaan kita sedang usahakan:

1. Menyertai ‘Solidarity Trial’ anjuran WHO

Embed from Getty Images

‘Solidarity Trial’ merupakan ujian percubaan klinikal kerjasama antarabangsa anjuran World Health Organization (WHO) untuk mencari rawatan efektif penyakit COVID-19.

Solidarity Trial secara asasnya akan membandingkan empat pilihan rawatan dengan rawatan sedia ada, untuk menganalisa keberkesanan relatifnya terhadap COVID-19.

Empat rawatan yang akan dibandingkan adalah:

  • Remdesivir
  • Chloroquine atau Hydroxychloroquine
  • Lopinavir dengan Ritonavir
  • Lopinavir dengan Ritonavir + Interferon beta-1a

Tujuan utama Solidarity Trial dibuat adalah untuk menjimatkan 80% masa mencari penawar COVID-19 yang pada mulanya dijangka akan mengambil masa bertahun-tahun.

Pada awal April lepas, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang dipilih oleh WHO untuk menyertai Solidarity Trial ‘kerana mempunyai kajian penyakit yang berkualiti‘. Lebih 100 buah negara telah terpilih dalam projek ini.

2. Menggubah vaksin ayam

Embed from Getty Images

Selain bekerjasama dengan WHO untuk mencari penawar COVID-19 daripada ubat-ubat sedia ada, Malaysia juga sedang giat membangunkan vaksin COVID-19 sendiri menerusi penyelidikan tiga pihak:

  • Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR);
  • Malaysian Vaccines and Pharmaceutical Sdn Bhd (MVP) dan;
  • Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Universiti Malaya

Vaksin sedia ada yang bakal digubah dalam kajian ini adalah vaksin untuk virus bronkitis berjangkit (IBV). IBV merupakan sejenis virus daripada keluarga coronavirus yang banyak menjangkiti ayam.

Difahamkan IBV mempunyai persamaan genetik yang tinggi dengan virus COVID-19.

Pembangunan vaksin ini dilakukan di TIDREC Universiti Malaysa, salah sebuah pusat yang mempunyai tahap 3 bio-keselamatan modular (BSL3). Pusat ini pernah digunakan untuk mengkaji virus MERS dan Nipah sebelum ini.

3. Mengkaji plasma darah pesakit sembuh

Bekas pesakit COVID-19, Reza Huzairi Zainuddin menderma plasma darahnya di Hospital Sungai Buloh. (Foto: Bernama)

Satu lagi cara Malaysia mencari penawar COVID-19 adalah dengan mengkaji plasma darah bekas pesakit yang sembuh daripada penyakit berjangkit tersebut.

Badan bekas pesakit yang sembuh daripada COVID-19 akan menghasilkan antibodi unik yang membantu mereka memerangi virus sama pada masa akan datang.

Secara teorinya, antibodi yang berada dalam plasma darah bekas pesakit ini boleh dipindahkan ke badan pesakit yang tidak mampu menghasilkan antibodi ini untuk menyembuhkan mereka.

Tetapi menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham, kajian plasma darah bekas pesakit itu masih lagi di peringkat awal dan masih belum diketahui tahap keefektifannya.

Setakat laporan pada 12 April, sebanyak 12 bekas pesakit COVID-19 telah mendermakan plasma darah mereka kepada KKM.

Baca juga laporan kami yang lain mengenai vaksin COVID-19:

Sumber: