Tiada siapa kenal identiti sebenar ‘Madam W’, tetapi beribu-ribu anak yatim di Malaysia menerima manfaat hasil kerja kebajikannya.

Sebelum kematiannya pada tahun 2013, Madam W memperuntukkan sebahagian daripada hartanahnya yang bernilai jutaan ringgit kepada 20 rumah anak yatim dalam wasiatnya.

Menurut laporan New Straits Times, Madam W mengarahkan pemegang amanah wasiatnya untuk melaburkan wang tunai hasil pelaburan hartanahnya dan memberikan pulangan pelaburan tersebut kepada rumah-rumah anak yatim.

Sejak tujuh tahun lepas, wanita dermawan tersebut dilaporkan telah mengagihkan sejumlah RM1.1 juta.

Rockwills Trustee Berhad yang memegang amanah wanita itu, baru-baru ini menyerahkan cek berjumlah RM190,000 kepada semua 20 rumah anak yatim yang berada dalam wasiat wanita dermawan tersebut.

Wang RM190,000 merupakan hasil keuntungan daripada pelaburan beliau pada tahun 2019.

Ini bermakna setiap rumah anak yatim tersebut akan menerima RM9,465.20 dan akan memanfaatkan sejumlah 1,100 anak yatim.

Azhar Iskandar (tengah) bergambar bersama penerima manfaat wasiat Madam W di Menara AmFirst (Foto: NSTP)

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rockwills Trustee Berhad Azhar Iskandar Hew, Madam W telah mengarahkan beliau supaya sebahagian hartanahnya dimasukkan dalam unit amanah untuk dilaburkan. Keuntungan pelaburan kemudiannya akan diagih-agihkan kepada 20 rumah anak yatim.

“Semasa menulis wasiatnya, beliau ada impian untuk menggunakan kekayaannya untuk kebaikan anak yatim. Beliau tak mahu hanya sekadar menderma hartanahnya kepada rumah anak yatim selepas kematiannya. Beliau mahu duitnya bekerja untuk kebaikan anak yatim.

“Melalui perancangan hartanah yang teliti, beliau memperuntukkan sebahagian hartanahnya dalam unit amanah untuk tujuan pelaburan. Keuntungan pelaburan kemudiannya digunakan untuk kebaikan anak yatim.”

Menurut Azhar, syarikatnya yang dianggotai oleh beberapa pengarah dan staf pengurusan senior telah merangka dan mengurus pelan pelaburan untuk memastikan unit amanah Madam W dilaburkan dengan baik hingga memberikan keuntungan konsisten pada setiap tahun.

“Pada setiap tahun, 20 rumah anak yatim berbeza dipilih untuk memberi manfaat kepada semua anak yatim tanpa mengira bangsa dan agama,” kata Azhar lagi.

Azhar turut berkata wasiat kebajikan menjadi semakin popular kebelakangan ini. Tetapi wasiat kebajikan yang berterusan tanpa limitasi masa seperti Madam W masih asing.

“Inilah contohnya bila pelan hartanah yang perlu dicontohi dan boleh diikuti. Ia menunjukkan bahawa wasiat juga boleh mengagihkan kekayaan dengan efektif kepada orang tersayang dan masyarakat.”

Baca juga artikel lain yang berkaitan: