Selepas seseorang disahkan menghidap Covid-19, mereka akan diarahkan untuk hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC). Di negeri Selangor sahaja, sehingga kini terdapat sejumlah 31 buah Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang sedang beroperasi di kesemua sembilan daerah.

CAC dibentuk pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Kesesakan di beberapa Pusat Kuarantin Risiko Rendah menyebabkan pesakit yang berada di Kategori 1 dan 2 dibenarkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah. Namun begitu, terdapat kesukaran untuk menjalani kuarantin di rumah bagi mereka yang tinggal di rumah yang sempit dan sesak.

Bagi mengelakkan risiko jangkitan terhadap kontak rapat, sebenarnya mereka yang disahkan positif Covid-19 boleh memohon untuk menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS). Berikut disenaraikan Pusat Kuarantin Swasta yang memberikan perkhidmatan secara percuma dan berbayar di sekitar Lembah Klang.

Pusat Kuarantin Swasta Percuma

Kredit gambar: https://www.nestle.com.my/media/pressreleases/nestle-qts

Bagi membantu golongan tidak berkemampuan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah, Kementerian Wilayah Persekutuan membuka empat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) secara percuma. PKRCS ini khas untuk warga Wilayah Persekutuan yang berdepan kesukaran menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Senarai PKRCS khas ini adalah seperti berikut:

  1. Hotel Royal Chulan, Jalan Conlay;
  2. International Youth Center, Bandar Tun Razak, Cheras;
  3. Tamu Hotel Kampong Bharu dan;
  4. Hotel Travelodge City Centre.

Antara PKRCS percuma yang terdapat di negeri Selangor pula adalah di bawah kendalian Nestle dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor dan Kementerian Kesihatan Malaysia.Stesen Transit Kuarantin Nestle (QTS) ini membabitkan 100 bilik hotel yang disewa khas sebagai lokasi kuarantin di Hotel Pegasus, Seksyen 15, Shah Alam.

QTS Nestle yang dibuka kepada kakitangan Nestle serta keluarga mereka, dan juga kumpulan B40 dan golongan berpendapatan rendah di Selangor. QTS menyediakan persekitaran yang sewajarnya untuk mereka yang tidak berupaya atau tidak mempunyai kemudahan yang sesuai untuk menjalani kuarantin di rumah. Ia merangkumi bilik dan kemudahan hotel secara percuma, hidangan makanan berkhasiat tiga kali sehari yang disedia khas oleh Chef MAGGI, dengan mengikut protokol keselamatan seperti yang ditetapkan oleh (KKM).

Pusat Kuarantin Swasta Berbayar

Kredit gambar: https://www.silkahotels.com/en/silka-cheras/rooms/deluxe-room.html

Bagi mereka yang berkemampuan dan mahu mengelakkan sebarang risiko kepada keluarga sekiranya terpaksa menjalani kuarantin kendiri di rumah, terdapat beberapa Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) di sekitar Lembah Klang yang boleh didiami.

Dengan kadar antara RM200 dan ke atas semalam, berikut merupakan senarai hotel yang menyediakan khidmat sebagai PKRCS berbayar:

  1. Hotel Saujana Subang;
  2. Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur;
  3. Hotel Silka Cheras;
  4. Grand Seasons Hotel Kuala Lumpur; dan
  5. Bangi Resort Hotel.

Terdapat juga beberapa hotel yang menyediakan perkhidmatan kuarantin bagi pesakit Kategori 1 dan 2 di bawah RM200 seperti:

  1. The Club Saujana, dari RM198 semalam;
  2. Geno Hotel, dari RM187 semalam; dan
  3. Empire Hotel Subang, dari RM185 semalam.

Menurut arahan kuarantin pesakit Covid-19, mereka akan menjalani kuarantin selama sekurang-kurangnya 10 hari sebelum boleh disahkan sihat sepenuhnya. Namun ia bergantung kepada keputusan ujian swab test sebelum meninggalkan premis kuarantin tersebut.