Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2020 akan menjadi lain disebabkan oleh wabak COVID-19. Presiden Federasi Saintis Amerika Syarikat, Dr. Ali Nouri memberi amaran kehidupan semua orang di dunia tidak akan menjadi normal walaupun selepas berakhirnya kuarantin selagi vaksin COVID-19 belum ditemui.

Ali Nouri berkata kepada Daily Mail, walaupun selepas tempoh kuarantin (perintah kawalan pergerakan atau PKP di Malaysia) berakhir, penjarakan sosial masih perlu dilakukan oleh semua orang.

Ini bermakna harapan orang Eropah dan Amerika Utara untuk kembali memenuhi pantai dan pawagam menjelang cuti musim panas pada Jun 2020 nanti akan berkubur.

Harapan orang Muslim seluruh dunia untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri selepas wabak COVID-19 reda dengan ziarah-menziarahi keluarga dan kawan pada Mei 2020 juga akan berkubur.

Ketika ini kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia berkata mereka memerlukan ‘satu dua hari lagi’ sebelum membuat keputusan sama ada untuk melanjutkan atau menamatkan PKP yang berakhir pada 14 April ini.

Meskipun belum jelas PKP akan dilanjutkan atau tidak, kerajaan tidak mengambil sebarang risiko dengan membatalkan bazar Ramadan terus di seluruh negara pada tahun ini. Sebaliknya ia akan digantikan dengan bazar Ramadan atas talian sebagaimana yang telah diumumkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Ramadan dijangka akan bermula pada 23 April nanti.

Setakat ini masih belum ada apa-apa pekeliling daripada kerajaan mengenai kebenaran solat Terawih berjemaah di surau/masjid dan amalan ziarah-menziarahi semasa Hari Raya Aidilfitri pada 24 Mei nanti.

Dr Nouri berkata keadaan hanya akan kembali menjadi normal pada 2021 iaitu masa yang diperlukan oelh saintis seluruh dunia untuk membangunkan vaksin COVID-19.

“Kita masih perlu mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya sehingga akhir Mei atau pertengahan Jun 2020,” tambah Dr Nouri lagi.

“Setakat ini saintis tak ada tarikh magik yang membolehkan semua orang hidup macam biasa. Masuk bulan Jun nanti, kita takkan [boleh] bersesak-sesak ke restoran atau pawagam. Kehidupan kita akan jadi lain sehinggalah kita jumpa vaksin.

“Kalau kita tengok di Wuhan pun, orang ramai hanya dibenarkan keluar dari bandar tersebut selepas 76 hari. Penduduk mereka juga masih mengamalkan prosedur kuarantin dan sanitasi yang ketat apabila keluar rumah.

“Itu maknanya virus ini mempunyai potensi untuk menyerang semula, walaupun di kawasan yang telah mendatar lengkung jangkitannya.

“Apa yang membuatkan virus ini berbeza adalah ia sangat mudah berjangkit dan, pada masa yang sama, ia 10 kali lebih berbahaya daripada flu.”

Sebelum ini Rencah melaporkan Bill Gates sedang membangunkan tujuh prototaip vaksin serentak dalam usaha untuk mempercepatkan penemuan vaksin COVID-19.

Ketika ini di Wuhan, orang ramai sudah mula boleh keluar masuk dengan bebas selepas tujuh minggu kuarantin dijalankan.

Bagaimanapun South China Morning Post melaporkan majoriti orang ramai di Wuhan masih perlu melaporkan kesihatan mereka kepada pihak berkuasa melalui QR code di aplikasi WeChat.

Orang yang mahu pergi ke Beijing dan Shenzhen pula wajib menjalani ujian pemeriksaan COVID-19 di destinasi bertolak dan destinasi sampai. Jika lepas dua ujian ini, mereka perlu menjalani proses kuarantin di rumah selama 14 hari pula.

Jadi kenyataan Dr Nouri ada kebenarannya – walaupun kuarantin telah tamat di Wuhan, kehidupan orang ramai masih jauh dari normal.

Baca juga artikel kami mengenai impak wabak COVID-19 di Malaysia: