Peningkatan kerintangan antibiotik di seluruh dunia menjadi ancaman susulan penggunaan antibiotik yang tidak wajar dan berleluasa. Malaysia juga tidak terkecuali dengan masalah ini.

Ketidakberkesanan antibiotik ini adalah satu proses semulajadi yang berlaku akibat kebolehan bakteria mengadaptasi sebagai satu cara kemandirian spesis mereka. Sesuatu antibiotik tidak lagi berkesan untuk membunuh dan merencat pembiakan bakteria akibat penyalahgunaan yang berleluasa dalam kalangan manusia dan binatang ternakan.

Isu kerintangan antibiotik juga menyebabkan penyakit sukar diubati dan akan meningkatkan risiko morbiditi dan kematian. Mengikut statistik, kira-kira dua kali ganda kematian di hospital adalah disebabkan oleh masalah kerintangan antibiotik. Ini kerana, jangkitan serius disebabkan bakteria kebal sanga sukar untuk dirawat.

Kadar kematian bagi pesakit dengan jangkitan serius disebabkan bakteria kebal yang dirawat di hospital adalah kira-kira dua kali ganda berbanding pesakit dengan jangkitan bakteria biasa.

Sejarah penciptaan antibiotik

Kredit gambar: Tons Of Facts

Tanggal 28 September 1928 merupakan hari bersejarah bagi dunia apabila antibiotik penisilin ditemukan oleh seorang ahli mikrobiologi, Sir Alexander Fleming. Penisilin kemudiannya menjadi antibiotik pertama di dunia.

Sehingga kini, terdapat lebih 100 jenis antibiotik dan 10 daripadanya adalah jenis antibiotik yang kerap digunakan. Setiap jenis berfungsi dengan caranya tersendiri. Ada antibiotik yang membunuh bakteria (bactericidal) dengan menghancurkan dinding bakteria.

Ada antibiotik yang menghentikan perkembangan bakteria (bacteriostatic) dan sistem pertahanan pesakit dapat diatasi dengan kadar segera.

Kepentingan antibiotik

Kredit gambar: Healthline

Setiap tubuh badan manusia mempunyai daya ketahanan masing-masing. Fungsi utama pengambilan antibiotik adalah untuk merawat pesakit atau bagi mengelakkan penyakit.

Kebiasaannya, ia digunakan untuk merawat penyakit. Pesakit yang dijangkiti kuman bakteria akan mengalami demam dan simptom lain seperti batuk.

Biarpun tubuh badan manusia mempunyai daya pertahanan untuk melawan bakteria, tetapi antibiotik dapat mempercepatkan proses penyembuhan. Bagi pesakit yang mempunyai daya pertahanan badan yang rendah pula, antibiotik digunakan bagi mengelakkan seseorang pesakit dijangkiti kuman.

Antibiotik berfungsi untuk melawan jangkitan bakteria dengan membunuh, merencatkan pertumbuhan atau menghalang pembiakannya.

Risiko kerintangan antibiotik

Kredit gambar: Vajiram IAS

Hanya seorang pengamal perubatan layak memberikan preskripsi antibiotik kepada pesakit. Ini kerana, bukan semua jangkitan kuman memerlukan kepada antibiotik.

Kebanyakan jangkitan disebabkan virus dan badan boleh mengatasinya tanpa antibiotik yang tidak berfungsi terhadap virus. Implikasi terhadap pesakit tersilap mengambil antibiotik boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius.

Kerintangan antibiotik akan berlaku apabila antibiotik digunakan dalam rawatan jangkitan bakteria sebelum ini tidak lagi berkesan. Ini kerana bakteria sudah menjadi kebal terhadap antibiotik.

Amalan tidak menghabiskan antibiotik apabila berasa penyakit mula reda boleh menyebabkan keadaan kerintangan antibiotik berlaku. Selain itu juga, pengambilan antibiotik tanpa nasihat pengamal perubatan juga menjadi punca kepada masalah ini.

Mutasi bakteria bakal berlaku dalam tubuh dan menyebabkan antibiotik hilang keupayaan untuk melawannya. Sepatutnya, apabila antibiotik diambil, bakteria yang tidak rintang antibiotik akan dibunuh atau direncat pertumbuhannya. Namun begitu, bakteria kebal atau rintang antibiotik pula akan terus tinggal di dalam tubuh dan membiak.

Pembiakan ini menyebabkan jangkitan bakteria menjadi lebih teruk, seterusnya menyebabkan komplikasi jangkitan. Sesetengah kes kerintangan antibiotik juga boleh menyebabkan kematian.

Apa yang penting, jangan sesekali meninggalkan dos, menyimpan antibiotik untuk kegunaan masa depan dan berkongsi ubat antibiotik dengan orang lain.