Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan gaji dua bulan Perdana Menteri, semua Menteri dan Timbalan Menteri akan dipotong dan disalurkan ke Tabung COVID-19.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, langkah ini dibuat untuk membuktikan kesungguhan kerajaan membantu rakyat yang tidak bekerja dan terjejas kewangannya berikutan penularan wabak COVID-19.
Netizen di media sosial rata-ratanya memuji langkah pemotongan gaji yang ditunjukkan oleh jemaah menteri.
Menteri sanggup kena potong gaji untuk kita semua ? Please stay at home guys! ❤️ pic.twitter.com/KtcAGrQr3o
— AA (@zatizaini__) March 26, 2020
Amik kau Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri potong gaji 2 bulan!
— Faizal Riduan (@faizalriduan) March 26, 2020
Itulah pentingnya ilmu perbandingan!
PM dan Menteri dari Singapura dan Thailand dipotong sebulan gaji sementara PM dan Menteri Korea Selatan potong gaji 30% selama 4 bulan. ?#DudukRumah pic.twitter.com/OBATCrmHK1
Semalam Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pahang mengumumkan langkah hampir sama apabila bersetuju memotong 10 peratus gaji selama tiga bulan bermula April ini.
Wan Rosdy berkata, keputusan pemotongan gaji itu dibuat selepas beliau mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang, hari ini.
Katanya, potongan gaji itu akan disumbangkan sepenuhnya kepada Tabung COVID-19 Pahang yang dilancarkan Kerajaan Pahang.
“Keputusan ini diambil sebagai rasa bertanggungjawab dan tanda simpati ahli MMK terhadap rakyat daripada pelbagai latar belakang kaum, usia dan kerjaya yang terkesan dengan wabak COVID-19.
“Semoga dengan potongan serta sumbangan kepada Tabung COVID-19 Pahang akan mendorong lebih banyak pihak untuk tampil dan turut menyumbang kepada tabung ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dalam kenyataan media berkata, seramai 10,000 penjawat awam Pahang bersedia memotong gaji untuk disumbangkan kepada Tabung COVID-19 Pahang sebagai tanda prihatin.
Katanya, hasil sumbangan penjawat awam itu, dianggarkan berjumlah RM100,000 sebulan.
“Usaha itu adalah pengorbanan penjawat awam di Pahang dalam menunjukkan solidariti bersama rakyat Pahang,” kata Dr Sallehuddin.
Tabung COVID-19 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Mac lepas telah mengumpul sumbangan sebanyak RM8,493,103.48.
Tabung ini dikendalikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Sumbangan kepada Tabung COVID-19 boleh dibuat ke akaun 16010001138714 (Bank Muamalat – Tabung Bantuan Bencana Negara).