Seorang wanita tidak menyangka dihadiahkan kereta Perodua Myvi baru sebagai ganti selepas kereta Perodua Viva miliknya dilanggar dari belakang oleh pemandu kereta Lamborghini Huracan.

Dalam kejadian yang berlaku di Petaling Jaya semalam, pemandu Lamborghini Huracan itu terlanggar belakang kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang wanita.

Kemalangan berlaku apabila pemandu Lamborghini Huracan tersebut cuba memotong kereta Viva yang cuba membelok ke kanan di sebuah simpang tiga.

Kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan. Tetapi kereta Perodua Viva mangsa mengalami kerosakan terus di bahagian belakang.

Susulan kemalangan tersebut, kedua-dua pemandu kemudiannya membuat laopran polis. Tetapi insiden itu tidak berakhir di situ.

Paul Tan melaporkan pemilik kereta Viva tersebut merupakan wanita yang melakukan perniagaan penghantaran makanan masak dari rumah.

Pada waktu insiden, adiknya sedang memandu kereta tersebut dan dalam perjalanan untuk mengutip kotak makanan dan membeli bekalan makanan untuk perniagaan kakaknya.

Pemilik Viva tersebut merupakan ibu tunggal kepada tiga orang anak. Kebiasaannya anak-anaknya akan ikut sekali ketika beliau membuat penghantaran makanan. Tetapi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak membenarkan beliau berbuat begitu. Jadi adiknya tampil membantu.

Kemalangan tersebut bermakna ibu tunggal itu boleh kehilangan punca pendapatannya kerana Perodua Viva tersebut merupakan satu-satunya kenderaan yang dimilikinya.

Dalam situasi biasa, ibu tunggal tersebut mungkin perlu menunggu berbulan-bulan sebelum dapat duit pampasan insurans untuk membeli kereta baru. Tetapi hasil keprihatinan pemilik Lamborghini Huracan tadi, beliau tidak perlu menunggu.

Pemandu kereta supercar buatan Itali tersebut mengaku kesilapannya dan cuba menebusnya dengan membeli kereta Myvi terpakai baru.

Jika berita ini betul, bermakna ibu tunggal tersebut mendapat dua hikmah daripada kejadian ini: kereta baru dan wang tunai yang bakal diterimanya dari pampasan insurans.

Paul Tan bagaimanapun tidak menjelaskan bagaiman proses pembelian kereta tersebut dibuat memandangkan kedai menjual kereta, JPJ dan Puspakom sebenarnya ditutup ketika PKP. Tetapi biarlah kita ketepikan dulu perincian kecil ini.

Apa yang penting adalah kedua-dua pemandu selamat dan pesalah bertanggungjawab ke atas kesilapannya.

Baca juga artikel kami lain yang mungkin menarik perhatian anda: