Belum pun siap, PS5 sudah pun memberikan Sony sakit kepala angkara harga komponen yang mahal. Jika Sony merancang untuk menjual PS5 pada harga sama seperti PS4 ketika ia mula-mula dilancarkan, Sony mungkin terpaksa menanggung kerugian.

Laporan Bloomberg mendedahkan ketika ini harga kos untuk membuat PS5 adalah sekitar USD$450 (RM1,864). Ketika PS4 mula-mula dilancarkan pada hujung 2013, Sony menjualnya pada harga sekitar RM1,500.

Syarikat pengeluar generasi PlayStation itu dilaporkan bergelut untuk mendapatkan bekalan DRAM dan flash memory yang mencukupi lantaran permintaan tinggi daripada industri telefon pintar. Sistem penyejukan konsol itu juga dilaporkan lebih mahal daripada biasa.

Kekurangan bekalan DRAM bukan sahaja memberi kesan kepada PS5. Sony juga terpaksa membuang beberapa ciri-ciri menarik pada kamera nir cermin (mirrorless camera) kerana storan memori yang terhad (oleh kerana ketiadaan DRAM).

Ketika ini Sony masih mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ sebelum menentukan harga jualan PS5. Dengan Microsoft turut dijangka akan mengeluarkan generasi XBox terbaru – Xbox Series X, Sony mahu melihat apakah pendekatan Microsoft dalam menentukan harga jualan konsol mereka.

Harga yang lebih murah berbanding XBox 1 merupakan faktor utama jualan PS4 jauh lebih tinggi – menjadikan ia konsol permainan video paling popular dan berjaya di dunia.

Sony mungkin terpaksa bergantung harap kepada pendapatan PS Plus dan PS Now untuk menjadikan impian penghasilan PS5 menjadi realiti, jika Sony terpaksa menanggung rugi. Bloomberg menjangkakan eksekutif Sony akan menjadikan pertukaran generasi konsol ini bersifat beransur-ansur. Contohnya, permainan generasi baru masih boleh dimainkan di PS4.

Sebagai rekod, Sony sebelum ini mengumumkan generasi baru PlayStation, PS5 akan dilancarkan pada tahun 2020. PS5 bakal dilengkapi dengan alat kawalan (controller) baru yang dilengkapi dengan dua inovasi: haptic feedback dan adaptive triggers pada butang L2/R2.

Haptic feedback membolehkan pemain menerima tindak balas yang lebih bervariasi. Contohnya tindak balas yang bakal anda terima di controller apabila kereta anda melanggar dinding akan berlainan dengan tindak balas ketika anda dibentes ketika bermain bola sepak.

Adaptive triggers pula membolehkan pemain merasai perbezaan rintangan yang dirasai ketika menarik anak panah dengan memecut kereta.

Dua inovasi ini dikatakan bakal memberikan pengalaman menyeluruh kepada pemain ketika menggunakan PS5.