Amerika Syarikat ‘membuang’ nama Indonesia dari senarai nama negara membangun dan kini mengenalpastinya sebagai negara maju.

Ini berikutan keputusan Pejabat Perwakilan Dagang Amerika Syarikat (USTR) baru-baru ini yang membuang nama Indonesia dari senarai nama membangun – bererti Indonesia kini tidak lagi boleh menerima keistimewaan yang diterima negara membangun dalam urusan perdagangan dengan Amerika Syarikat.

Dalam erti kata lain, barangan eksport dari Indonesia ke Amerika Syarikat akan dikenakan cukai tarif yang tinggi.

Status baru Indonesia yang diberi oleh Amerika Syarikat ini turut bermakna mereka tidak lagi boleh menerima insentive Generalized System of Preferences (GSP) ketika mengeksport produk dagang ke negara Amerika Utara tersebut.

Berdasarkan undang-undang Amerika Syarikat, insentif GSP hanya diberi kepada negara membangun dan negara dunia ketiga. Ia diasaskan pada tahun 1974 oleh kerajaan Amerika Syarikat supaya negara-negara dalam senarai GSP tidak perlu membayar duti ketika mengeksport barang dagangan.

Indonesia tak sangka tapi tak panik

Kerajaan Indonesia dalam kenyataan rasminya kepada media memberitahu tindakan Amerika Syarikat ini lebih berkisarkan rasa ‘cemburu’ mereka tehadap ekonomi besar yang mencatatkan lebihan dagang dengan Amerika Syarikat – bukannya penghargaan.

Para penganalisis ekonomi Indonesia melihat langkah Amerika Syarikat ini adalah supaya Indonesia tidak menjadi seperti China versi baru dengan menikmati insentif perdagangan berterusan dari mereka. India, Brazil dan Afrika Selatan adalah antara negara populasi besar yang menjadi ‘mangsa’ langkah ini.

Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulayani bagaimanapun tidak panik dengan tindakan Amerika Syarikat.

“Hanya 5 komoditi eksport Indonesia yang menikmati GSP. Jadi kesannya tak begitu besar,” katanya.

Beliau turut menekankan Indonesia masih lagi sebuah negara membangun (middle income). “Kita masih lagi negara pendapatan sederhana setakat ini. Kita mesti terus perbaiki beberapa aspek yang kompetitif. Inilah azam presiden kita.”

Embed from Getty Images

Bagaimanapun Pengerusi Dewan Perdagangan dan Industri Indonesia, Rosan Roeslani memberitahu beliau bimbang dengan status baru Indonesia itu.

“Masih banyak usahawan Indonesia yang mengeksport barang ke Amerika Syarikat menikmati insentif GSP dari negara Pak Sam,” katanya. “Kami harap kerajaan akan melobi supaya GSP dapat kekal atau separa-kekal dinikmati oleh Indonesia.”

Tindakan yang sudah dijangka

Status ‘Indonesia negara maju’ mungkin kedengaran pelik memandangkan Bank Dunia sendiri masih mengklasifikasikan mereka sebagai negara membangun – seperti Malaysia. Tetapi ia sebenarnya sudah dijangka susulan janji Presiden Donald Trump yang mahu ‘menghukum negara pengimport yang menipu’.

Sebanyak 16 negara termasuk dalam senarai tersebut. Antaranya China, Indonesia, Jepun, Kanada, Jerman, Mexico, Ireland, Vietnam, Italy, Korea Selatan, Malaysia, India, Thailand, Perancis, Switzerland dan Taiwan.

16 negara di atas merupakan negara yang mencatatkan lebihan dagang dengan Amerika Syarikat (lebih banyak eksport berbanding import). China mempunyai lebihan dagang sebanyak US$347 bilion (RM1.5 trilion). Indonesia pula US$13 bilion (RM55 bilion).

Indonesia mempertahankan mereka tidak mempunyai sebab untuk ‘menipu’ Amerika Syarikat sehingga mampu mencipta lebihan dagang.

“Macam pakaian dan kasut. Kita catat lebihan dagang bukan kerana menipu. Tapi kerana Amerika Syarikat tidak mahu buat kerana kos buruh yang mahal. Itu sebabnya jenama Amerika Syarikat seperti Nike buat kilang di Indonesia,” jelas penganalisis ekonomi Bhima Yudhistira Adhinegara kepada The Jakarta Post.