Seorang pekerja Grab Delivery melaporkan kejadian seorang rakan pekerjanya yang terpaksa dibawa ke balai polis selepas polis menemui dadah dalam bungkusan GrabExpress pelanggan.

Menurut lelaki tersebut menerusi akaun Twitter @ZalAnnas, kejadian tersebut berlaku apabila pihak polis memeriksa barang dalam beg pekerja Grab Delivery tersebut semasa sekatan jalan dan mendapati ada satu bungkusan mencurigakan.

Apabila dibuka, bungkusan GrabExpress itu rupanya mengandungi dadah jenis syabu beserta dua biji gula-gula yang dimasukkan dalam plastik pembungkus lozenge Fisherman’s Friend.

Menurut maklumat pekerja Grab Delivery itu lagi, dadah tersebut dihantar oleh pengedar dadah yang beralamat di Kampung Raja Uda, Klang, Selangor.

Susulan kejadian tersebut, pekerja Grab Delivery tersebut dibawa ke balai polis untuk memberikan kerjasama siasatan polis.

Polis kemudiannya bergegas ke alamat penghantar pesanan GrabExpress tersebut untuk membuat tangkapan. Bagaimanapun pengedar dadah tersebut telah lari dari rumahnya.

Penjenayah tersebut dipercayai lari selepas mendapati pekerja Grab Delivery tersebut tidak sampai ke destinasi dan dibawa ke balai polis.

Sebagai rekod, geolokasi pekerja Grab Delivery dapat dikesan oleh penghantar melalui aplikasi Grab selagi bungkusan belum sampai ke destinasi.

Pihak polis pula ketika ini sedang giat menahan pekerja Grab Delivery dalam sekatan jalan. Ini selepas timbul kes beberapa pekerja Grab Delivery yang menawarkan servis menjual dan menghantar rokok seludup semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa.

GrabExpress adalah servis penghantaran dokumen dan bungkusan yang disediakan oleh aplikasi Grab. Ia boleh dihantar oleh pekerja Grab Delivery yang bermotosikal atau berkereta.

Untuk bungkusan yang bersaiz tak lebih 43cm x 43cm x 43cm dan berat kurang 10kg, pelanggan boleh menggunakan khidmat pekerja Grab Delivery yang bermotosikal.

Harga minimum servis GrabExpress bermotosikal adalah RM5.00 sekali hantar.

Grab ada menyenaraikan senarai tujuh barang yang tidak dibenarkan untuk dihantar menggunakan servis GrabExpress iaitu:

  1. Barang mudah pecah (kek, bahan berkaca) yang memerlukan penjagaan rapi
  2. Barang mudah hancur
  3. Barang yang berbahaya, mudah meletup, mudah terbakar dan tak selamat (termasuk power bank)
  4. Barang berharga dan dokumen (wang tunai, passport, surat beranak)
  5. Barang terlarang seperti dadah
  6. Haiwan dan tumbuhan hidup
  7. Barang yang tidak dibungkus yang mudah rosak semasa transit

Grab Malaysia setakat ini masih belum memberikan apa-apa kenyataan berhubung kes ini.