Kerajaan melalui Menteri Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik pinjaman sehingga enam bulan kepada semua peminjam individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Moratorium ini ditawarkan untuk meringankan beban kewangan peminjam ketika musim wabak COVID-19.

BNM bagaimanapun mengingatkan peminjam bahawa bunga (interest) pinjaman akan terus dikenakan ke atas pinjaman yang diberikan moratorium.

Ini bermakna walaupun peminjam tak perlu membayar pokok (principal) pada tempoh moratorium, mereka masih perlu membayar bunga pinjaman.

Cuma peminjam hanya perlu membayar semua bunga dan pokok pinjaman itu selepas tempoh moratorium berakhir.

Kerajaan turut memberitahu bagi baki kad kredit yang belum dijelaskan, pelanggan perlu ditawarkan pilihan untuk menukar baki tertunggak kepada pinjaman jangka masa tidak melebihi tiga tahun.

Manakala peminjam sektor korporat pula perlu berunding dengan bank masing-masing untuk menyusun semula bayaran balik pinjaman.

“Ini penting supaya syarikat-syarikat terus berkemampuan mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing,” kata Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam kenyataan rasminya hari ini.

Wabak COVID-19 di Malaysia bukan sahaja memberi kesan teruk kepada kesihatan orang ramai, malah turut berisiko menyebabkan berjuta-juta rakyat kehilangan perkerjaan dan kehilangan punca pendapatan.

Siapa layak memohon moratorium?

Seperti yang diumumkan oleh kerajaan, semua peminjam individu dan syarikat yang mempunyai akaun pinjaman dengan bank layak memohon moratorium sehingga enam bulan.

Ia termasuklah pelanggan pinjaman peribadi, pinjaman sewa beli kereta, pinjaman perumahan dan pinjaman perniagaan.

Bagaimana untuk memohon moratorium?

Untuk memohon moratorium, anda perlu menghubungi bank anda untuk mengetahui proses memohon.

Pada waktu artikel ini ditulis, Alliance Bank adalah antara salah satu bank yang memberi ruang kepada pemohon untuk memohon moratorium di atas talian.

Selepas moratorium berakhir, adakah saya perlu membayar pinjaman tertangguh sekaligus?

Tidal. Jika anda memohon moratorium atau penangguhan bayaran balik pinjaman selama enam bulan, anda hanya perlu membayar pinjaman seperti biasa – bukannya membayar pinjaman enam bulan sekaligus.

Apabila anda memohon moratorium, tempoh pinjaman anda akan dipanjangkan. Tetapi bayaran bulanan akan berjalan seperti biasa selepas moratorium berakhir.

Contohnya, katakan baki tempoh pinjaman kereta anda adalah lima tahun. Selepas memohon moratorium selama enam bulan, tempoh pinjaman kereta anda akan menjadi lima tahun enam bulan.

Semasa enam bulan anda tak perlu membayar pokok (principal) pinjaman, bank tetap akan mengenakan bunga seperti biasa.

Jadi selepas moratorium enam bulan berakhir, anda perlu membayar pokok pinjaman selama lima tahun enam bulan DAN tambahan bunga pinjaman enam bulan.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai impak wabak COVID-19 terhadap ekonomi: