Bandar Kuantan sudah wujud sekitar pertengahan kurun ke-19. Bermula dengan sistem pentadbiran bandar menerusi penubuhan Kuantan Sanitary Board pada 1 Ogos 1913, Kuantan bertukar status dari bandar kepada perbandaran pada 1 September 1979.

Pada tanggal 21 Februari 2021, Majlis Perbandaran Kuantan diisytiharkan sebagai Majlis Bandaraya Kuantan yang menjadikan status Kuantan kepada sebuah bandar raya. Perkara itu mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah Kuantan dilihat memenuhi kriteria untuk menjadi sebuah bandaraya, sama seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Georgetown dan Shah Alam.

Kredit: https://www.thestar.com.my/metro/metro-news/2020/02/28/new-landmark-kuantan-188-is-the-pride-of-pahang

Dengan termeterainya pengumuman Kuantan sebagai sebuah bandaraya, ia sekali gus menjadikan Kuantan sebagai bandaraya ke-17 di negara kita.

Pentadbiran di peringkat kerajaan tempatan

Sistem perbandaran di Malaysia ditadbir oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu sebuah badan kerajaan yang berada di peringkat paling rendah dalam sistem pentadbiran negara.

Pihak Berkuasa Tempatan ini terbahagi kepada empat peringkat iaitu, iaitu Dewan Bandaraya, Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.

Antara contoh Dewan Bandaraya dan Majlis Bandaraya termasuklah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Ipoh dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.  

Bagaimanakah sesebuah bandar dapat mencapai status bandaraya?

Mengikut Senario Pembangunan Negara Malaysia yang dikenali sebagai Wawasan 2020, 70 peratus daripada penduduk Malaysia akan tinggal di kawasan bandar selaras dengan keperluan pembangunan lestari. Oleh yang demikian, semakin banyak bandar-bandar baru akan dibangunkan selain menaikkan taraf bandar-bandar yang telah sedia ada ke status bandaraya.

Sejak tahun 2000,  sebanyak 12 buah bandar telahpun dinaik taraf sebagai bandaraya. Sebelum tahun 2000, kita hanya mempunyai lima buah bandaraya di Malaysia iaitu Georgetown sebagai bandaraya pertama, diikuti oleh Kuala Lumpur, Ipoh, Kuching dan Johor Bahru.

Penentu status Bandaraya ini tertakluk kepada beberapa syarat, pekeliling dan juga Akta yang membentuk sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan seperti Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) di Semenanjung, Akta Ibukota Persekutuan 1960 atau biasa disebut Akta 190 untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Ordinan-Ordinan bagi Sabah dan Sarawak.

Di dalam Pekeliling Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, ada beberapa kriteria yang membolehkan sebuah bandar diangkat statusnya menjadi sebuah bandaraya. Antara keutamaan yang diambil kira termasuklah bandar tersebut meliputi pusat pentadbiran kerajaan negeri, jumlah penduduknya tidak kurang 500,000 orang serta sumber hasil kutipan tahunan bandar tersebut melebihi RM100 juta. 

Pemberian status bandaraya ini juga berdasarkan penilaian dan syor Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di peringkat Persekutuan dan SUK Negeri sebelum dibawa untuk kelulusan Kabinet sebelum watikah pengistiharan ditandatangani oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Bentong sebagai bandaraya ke-18 di Malaysia

Kredit: https://ms.wikipedia.org/wiki/Bentong

Bentong diberitakan bakal menjadi bandaraya kedua di Pahang selepas Kuantan berdasarkan kriteria yang dimilikinya untuk diangkat sebagai bandaraya. Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bentong telahpun memenuhi kriteria untuk diangkat sebagai bandaraya bersandarkan kepada pendapatan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Proses menaik taraf Majlis Perbandaran Bentong (MPB) kini di peringkat pentadbiran yang memerlukan kerajaan negeri membuat permohonan kepada kerajaan persekutuan. Lazimnya ia mengambil masa beberapa bulan untuk diluluskan oleh Kabinet. KPKT menjangkakan proses menaik taraf Majlis Perbandaran Bentong dapat diselesaikan tahun ini.

Siapa sangka, mungkin pada tahun ini kita bakal menikmati durian Musang King di bandaraya Bentong.

Tahukah anda? Kuantan pernah dinobatkan antara bandar yang paling bahagia dalam Malaysia pada tahun 2019

Senarai Bandar Paling Bahagia Di Malaysia Tahun 2019