10 orang terkaya di Malaysia dilaporkan telah hilang berbilion-bilion ringgit susulan prestasi ekonomi negara yang lembab akibat peralihan kerajaan dan penularan wabak COVID-19.

Majalah kewangan Forbes melaporkan nilai mata wang ringgit yang lemah dan penurunan 10% indeks pasaran saham tempatan membuatkan nilai kekayaan 10 orang terkaya di Malaysia ini menyusut 7% berbanding tahun lepas.

Forbes turut menyumbang penurunan nilai kekayaan mereka kepada perang dagang yang berlaku baru-baru ini antara Amerika Syarikat dan China, di samping kelembapan ekonomi China yang disebabkan oleh wabak COVID-19.

Turut menyumbang kepada trend penurunan ini adalah ketidakstabilan politik yang dimulakan oleh ‘Langkah Sheraton’. Krisis politik yang berlanjutan selama seminggu ini membuatkan pasaran saham tempatan menjadi tidak menentu.

Mari kita lihat apa kesannya kepada 10 orang terkaya di Malaysia:

1. Robert Kuok (hilang RM5.4 bilion)

Embed from Getty Images

Nilai kekayaan sekarang: RM48.8 bilion

Sumber kekayaan: Kelapa sawit, perkapalan, media dan hartanah

Syarikat dimiliki: Kerry Group, akhbar South China Morning Post, empayar Shangri-La Hotels dan Resorts

Walaupun hilang RM5.4 bilion dalam masa setahun akibat impak COVID-19 kepada bisnes hotelnya, Robert Kuok masih lagi mengekalkan statusnya sebagai orang terkaya di Malaysia – posisi yang dipegangnya selama lebih 20 tahun.

2. Quek Leng Chan (naik RM1.2 bilion)

Embed from Getty Images

Nilai kekayaan sekarang: RM40.6 bilion

Sumber kekayaan: Perbankan dan hartanah

Syarikat dimiliki: Hong Leong Group

Quek Leng Chan mengekalkan statusnya sebagai orang no.2 terkaya di Malaysia. Di sebalik iklim ekonomi negara yang kurang memberansangkan, beliau masih mampu meningkatkan nilai kekayaannya menerusi pelaburan hartanah luar negaranya.

3. Ananda Krishnan (turun RM1.2 bilion)

Embed from Getty Images

Nilai kekayaan sekarang: RM24.7 bilion

Sumber kekayaan: Telekomunikasi, media dan servis petroleum

Syarikat dimiliki: Maxis Communications, Astro Malaysia Holdings

Walaupun hilang RM1.2 bilion, Ananda Krishnan naik satu anak tangga untuk menjadi orang ketiga terkaya di Malaysia. Kerugian Krishnan berpunca daripada penurunan harga saham Astro di Bursa KL dari RM1.58 ke RM1.12 dalam masa tiga bulan akibat wabak COVID-19 dan Langkah Sheraton pada 26 Februari.

4. Chen Lip Keong (naik RM1.2 bilion)

Embed from Getty Images

Nilai kekayaan sekarang: RM22.2 bilion

Sumber kekayaan: Kasino, hartanah dan tenaga

Syarikat dimiliki: NagaCorp

Chen Lip Keong naik ke kelompok 5 teratas buat pertama kali hasil pelaburannya di Kemboja. Nilai kekayaan beliau naik 6% selepas NagaWorld membuka kompleks kasino di sana. Harga saham NagaCorp juga naik sekali ganda sejak November 2017 susulan penambahan projek Naga2 di Phnom Penh.

5. Teh Hong Piow (hilang RM7.7 bilion)

Embed from Getty Images

Nilai kekayaan sekarang: RM20.3 bilion

Sumber kekayaan: Perbankan

Syarikat dimiliki: Public Bank

Teh Hong Piow merupakan orang kaya yang paling teruk terjejas; jatuh dua anak tangga dari tempat ketiga pada tahun lepas. Pengasas Public Bank ini hilang RM7.7 bilion selepas harga saham Public Bank jatuh 30% – terutamanya selepas tarikh 26 Februari iaitu tarikh sehari selepas berlakunya Langkah Sheraton.

6. Lee Yeow Chor & Yeow Seng (hilang RM2.5 bilion)

Embed from Getty Images

Nilai kekayaan sekarang: RM20.1 bilion

Sumber kekayaan: Hartanah, kelapa sawit

Syarikat dimiliki: IOI Group

Ini merupakan kali pertama Lee Yeow Chor and adiknya kali masuk dalam senarai ini selepas mewarisi aset dan perniagaan bapa mereka, Lee Shin Cheng yang meninggal dunia pada Jun 2019. Pengurangan nilai kekayaan mereka berpunca daripada harga seunit saham IOI yang jatuh dari RM4.82 ke RM4.16 dalam masa dua bulan angkara wabak COVID-19.

7. Lim Kok Thay (hilang RM5 bilion)

Embed from Getty Images

Nilai kekayaan sekarang: RM13.4 bilion

Sumber kekayaan: Kasino

Syarikat dimiliki: Genting Group

Wabak COVID-19 betul-betul memberi kesan kepada perniagaan Lim Kok Thay yang hilang hampir US$1.2 bilion. Sejak wabak itu menular, harga saham Genting jatuh 12.5% dalam masa tiga minggu. Genting juga dilaporkan hilang RM3.4 bilion dalam pasaran modal.

8. Koon Poh Keong, Poh Ming & Poh Weng (naik RM1.7 bilion)

Nilai kekayaan sekarang: RM12.6 bilion

Sumber kekayaan: Aluminium

Syarikat dimiliki: Press Metal Aluminium Holdings

Nilai kekayaan adik-beradik Koon naik RM1.7 bilion selepas syarikat mereka merekodkan keuntungan RM417.03 juta pada suku keempat 2019. Tetapi mereka sebenarnya boleh mencatat keuntungan lebih tinggi jika tidak kerana wabak COVID-19 yang menganggu aktiviti ekonomi China dan menurunkan harga aluminium dunia.

9. Kuan Kam Hon (naik RM1.7 bilion)

Nilai kekayaan sekarang: RM11.7 bilion

Sumber kekayaan: Sarung tangan getah

Syarikat dimiliki: Hartalega Holdings

Sebagai pengerusi syarikat pembuat sarung tangan getah terbesar di dunia, syarikat Kuan Kam Hon menikmati keuntungan luar jangkaan berikutan penularan wabak COVID-19.

10. Lau Cho Kun (hilang RM4.6 bilion)

Nilai kekayaan sekarang: RM9.6 bilion

Sumber kekayaan: Kelapa sawit, hartanah

Syarikat dimiliki: Hap Seng Consolidated

Dahulunya orang kelapan terkaya di Malaysia, Lau Cho Kun kini turun dua anak tangga ke tempat ke-10. Harga saham syarikatnya jatuh 11% selepas wabak COVID-19 menular pada Januari dan ketidaktentuan politik pada Februari lepas.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai orang kaya: