Penduduk wilayah utara India melaporkan mereka kini boleh melihat Banjaran Himalaya dengan jelas dari jarak kira-kira 200km buat pertama kali dalam masa 30 tahun.

Bagi sesetengah penduduk daerah Jalandhar, wilayah Punjab, yang muda-muda, ini adalah kali pertama mereka dapat melihat Banjaran Himalaya secara jelas dari rumah mereka. Balbir Singh Seechewal adalah salah seorang daripada mereka:

“Kami boleh nampak gunung-ganang yang dilitupi salji dengan jelas dari bumbung rumah kami. Bukan itu saja.

“Bintang juga berkelipan jelas di langit. Saya tak pernah nampak pemandangan sebegini dari rumah saya sepanjang hidup.”

Bekas pemain kriket India Harbhajan Singh juga memberitahu ini kali pertama beliau menyaksikan Banjaran Himalaya sebegitu jelas dari rumahnya.

“Tak pernah saya tengok Banjaran Dhauladar (terletak di Banjaran Himalaya) dari atap rumah saya di Jalandhar. Tak pernah saya sangka benda ini boleh berlaku.

“Ini petanda jelas tentang impak pencemaran yang dilakukan oleh kita kepada Bumi.”

India ketika ini sedang menguatkuasakan perintah berkurung sejak 22 Mac lepas berikutan penularan wabak COVID-19.

Negara yang mempunyai 1.4 bilion penduduk ini turut mengarahkan semua kilang-kilang industri ditutup. Ini menyebabkan tahap pencemaran udara menurun secara mendadak.

Media melaporkan di New Delhi sahaja, berlakunya penurunan tahap pencemaran udara sebanyak 44% sejak perintah berkurung dikuatkuasakan. Indeks Pencemaran Udara (API) pula menunjukkan peningkatan kualiti udara sebanyak 33% di seluruh India.

Secara puratanya, bandar-banda ri di India mencatat API sekitar 110 hingga 120 (tidak sihat untuk pesakit sensitif). Tetapi baru tiga hari perintah berkurung dijalankan, API purata bandar-bandar India jatuh ke 75 (sederhana).

Balbir Singh Seechewal yang bekerja sebagai aktivis alam sekitar berkata:

“Saya tak pernah sangka saya akan berpelaung menikmati udara bersih di sekitar saya. Hari ini perkara mustahil menjadi kenyataan. Kita harus bekerjasama untuk memastikan udara kita kekal bersih.”

Penutupan kilang-kilang dan aktiviti-aktiviti industri menyebabkan pengurangan kadar nitrogen dioksida di ruang udara seluruh dunia.

NASA sebelum ini mengesan pengurangan kadar pencemaran udara di Wuhan, China selepas bandar tersebut melaksanakan perintah berkurung.

Di Itali pula, penduduk bandar Venice – bandar tumpuan pelancong dunia – menyedari kenaikan kualiti air di terusan tersebut selepas perintah berkurung dilaksanakan.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai impak perintah berkurung kepada alam sekitar: