Pada hari ini, dianggarkan 55 juta orang menggunakan Canva setiap bulan. Diasaskan oleh Melanie Perkins dan suaminya Cliff Obrecht, Canva bermula dari idea kecil Melanie iaitu memudahkan rekaan grafik.

Melanie menerokai idea ini apabila merasakan subjek rekaan grafik terlalu sukar untuk mereka yang tidak mempunyai asas. Bagi mengusahakan idea tersebut sebagai realiti, Melanie meninggalkan pengajian universitinya.

Bermula dari ruang tamu rumah Melanie Perkins

Kredit gambar: Twitter Forbes

Canva bermula sebagai Fusion Books. Ia merupakan laman web yang memudahkan guru dan pelajar bagi menghasilkan majalah sekolah mereka. Melanie Perkins berhasrat untuk Fusion Books menjadi laman web pilihan bagi sekolah yang mahu menyiapkan majalah tahunan tersebut.

Bersama-sama Cliff Obrecht, teman lelakinya ketika itu, Fusion Books bermula di ruang tamu rumah ibu Melanie. Pada tahun 2007, sebanyak 15 sekolah mendaftar untuk menggunakan Fusion Books. Jumlah tersebut bertambah kepada 30 buah sekolah pada tahun kedua dan 80 buah sekolah pada tahun ketiga.

Idea Fusion Books adalah memudahkan reka bentuk grafik untuk dihasilkan oleh semua. Dan Melanie melihat idea tersebut boleh dikembangkan di luar kerangka majalah sekolah. Maka, terhasillah Canva.

Memudahkan reka bentuk grafik

Kredit gambar: Canva

Seperti ilmu kesenian yang lain, reka bentuk grafik memerlukan asas pengetahuan dan juga sense of design yang tinggi. Bagi Canva, mereka mahu seramai mungkin orang boleh menggunakan aplikasi tersebut untuk menghasilkan rekaan grafik yang mudah.

Canva mengambil idea Google Docs yang dicipta untuk mengelakkan pergantungan kepada Microsoft Office. Bagi Melanie, mereka bukanlah pesaing kepada Adobe Photoshop. Canva dicipta untuk menghasilkan rekaan grafik yang sesuai untuk entry level. Hampir kebanyakkan features adalah percuma kepada semua.

Percubaan mendapatkan dana selama tiga tahun

Kredit gambar: Canva

Seperti startup yang lain, Melanie Perkins dan Cliff Obrecht berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan dana permulaan. Ia bukanlah tugas mudah kerana Canva tidak dilihat mampu memberikan pulangan yang pantas. Pertemuan bersama seorang pelabur terkenal, Bil Tai juga tidak membuahkan hasil. Namun ia membuka pintu kepada perjumpaan bersama pelabur-pelabur lain.

Selama tiga tahun sejak 2010, kedua-dua Melanie dan Cliff telah bertemu dengan ratusan pelabur. Antara pelabur yang ditemui adalah pengasas Google Maps, Lars Rasmussen. Hanya pada tahun 2013, mereka mendapat pelabur yang berminat dengan idea Canva. Canva mendapat pelaburan pertama berjumlah USD 3 juta dan Cameron Adams, bekas eksekutif Google menyertai Melanie dan Cliff.

Mereka bermula dengan dua belas pekerja, pada hari ini Canva memiliki 2,000 orang pekerja.

Canva pada hari ini

Kredit gambar: Forbes

Pada hari ini, Canva digelar sebagai salah satu startup paling bernilai. Forbes menganggarkan Canva bernilai RM167.5 bilion (USD 40 bilion). Nilai tersebut meningkat dengan mendadak kerana sebagai sebuah startup, Canva masih mampu menghasilkan untung yang berlipat kali ganda menerusi Canva Pro dan Canva for Enterprise.

Canva hari ini bersaing rapat dengan Adobe dan Vastraprint. Antara pelanggan Canva yang terbesar adalah seperti American Airlines, Intel dan PayPal.

Sehingga kini juga, sebanyak 7 bilion rekaan grafik telah dihasilkan di laman web Canva. Hasrat Melanie Perkins untuk memudahkan rekaan grafik untuk semua akhirnya tercapai.