Seorang remaja Singapura menjumpai cara licik untuk menipu Grab dengan menyamar sebagai pemandu dan penumpang supaya dia memperolehi komisyen pemandu tanpa memandu.

Ketua skim penipuan tersebut, Ryan Wong Wei Zhi, 20, dilaporkan telah berjaya memperolehi komisyen pemandu lebih SGD26,000 (RM80,062) daripada GrabTaxi Holdings selepas membuat hampir 2,000 tempahan pemanduan palsu pada tahun lepas.

Turut bersubahat dengan Ryan adalah rakannya, Chua Wei Beng, 22 yang kemudiannya mengajak seorang lagi kawannya, Kenneth Ho Hong Wei, 23. Ketiga-tiga mereka masih terlibat dalam program latihan khidmat negara ketika skim penipuan ini beroperasi.

Menjelang April tahun lepas, ketiga-tiga mereka berjaya merekrut 14 orang lagi dalam skim penipuan mereka dengan menjanjikan komisyen sehingga SDG400 (RM1,232) seminggu setiap seorang.

Ryan telah mengaku salah di hadapan mahkamah semalam (23 Jun) atas kesalahan mengetuai konspirasi menipu Grab antara Februari hingga April tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Phoebe Leau berkata Ryan mengilhamkan rancangan tersebut sekitar Januari tahun lepas untuk menipu Grab supaya membayar komisyen kepada pemandu ghaib di platform GrabHitch.

GrabHitch merupakan servis Grab yang membenarkan penumpang menempah pemanduan dengan pemandu kereta persendirian.

“Ryan sedar yang dia boleh menempah GrabHitch dengan akaun penumpang palsu yang disambung kepada akaun bank yang kosong melalui debit kad,” jelas Phoebe.

“Dia kemudiannya boleh menerima tempahan tersebut dengan menggunakan akaun pemandu palsu, login pengambilan dan penurunan penumpang tanpa membuat sebarang pemanduan.

“Jadi Grab perlu membayar komisyen pemanduan kepada pemandu palsu yang Ryan cipta kerana menerima tempahan daripada penumpang palsu – yang juga dicipta oleh Ryan.

“Apabila Grab mahu mengenakan caj pemanduan kepada penumpang, Grab takkan menerima apa-apa kerana akaun debit kad yang disambung dengan akaun penumpang palsu itu kosong.”

“Dengan menyamar sebagai pemandu dan penumpang, Ryan mengaut keuntungan tanpa membuat sebarang pemanduan.”

Menurut pihak pendakwa raya lagi, Ryan mengajak kawannya Chua menyertai skim penipuannya kerana Chua mempunyai akaun pemandu yang sah. Kedua-dua mereka kemudiannya membahagikan keuntungan mereka secara sama rata.

Ryan dan Chua sentiasa bertemu pada hari Jumaat setiap minggu untuk menjadualkan perancangan mereka. Setiap hari kecuali Jumaat, mereka akan membuat dua tempahan GrabHitch dengan menggunakan SIM kad pra-bayar yang dibeli oleh Chua.

Setiap akaun pemandu palsu GrabHitch ini menerima komisyen maksimum sehingga SGD144 (RM444)* sehari. Kemudian untuk menambah pendapatan mereka, Ryan dan Chua mengajak pula orang lain menyertai skim penipuan mereka, termasuklah Kenneth.

*Maksimum tambang GrabHitch SGD18 x 4 penumpang GrabHitch x 2 perjalanan = SGD144

Ketika ditangkap, Ryan dan Chua mempunyai 24 akaun penumpang dan 13 akaun pemandu palsu di aplikasi Grab.

Taktik Ryan mula terbongkar apabila penganalisis kajian operasi Grab mengesan beberapa transaksi palsu dan telah membuat laporan polis pada 17 April tahun lepas.

Menurut kenyataan polis Singapura, ketika ditangkap Ryan, Chua dan Kenneth sedang merancang untuk menjalankan skim penipuan sama di aplikasi Gojek pula.

Sabit kesalahan, Ryan, Chua dan Kenneth boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan dikenakan denda.

Baca juga artikel lain yang berkaitan: