Semasa Covid-19 melanda negara, terdapat beberapa industri yang menghasilkan keuntungan berlipat kali ganda akibat daripada permintaan yang tinggi. Industri yang dilihat paling mendapat impak positif akibat pandemik ini adalah penghasilan sarung tangan getah. Tahukah anda, industri sarung tangan getah menyumbang hampir 90 peratus kepada pendapatan eksport barangan getah negara ke seluruh pelusuk dunia?

Syarikat pembuat sarung tangan getah yang terbesar di Malaysia.

Kredit: https://www.topglove.com/glove-production/

Syarikat seperti Top Glove Corp Bhd, Hartalega Holdings Bhd, Supermax Corp Bhd dan Kossan Rubber Industries Bhd sentiasa menjadi tumpuan apabila permintaan sarung tangan getah melonjak bukan sahaja bagi kegunaan perubatan tetapi juga bagi tujuan bukan perubatan, terutama dalam sektor makanan dan minuman.

Empat pengeluar sarung tangan utama, iaitu Top Glove, Hartalega, Kossan Rubber dan Supermax merekodkan nilai urus niaga lebih daripada RM40 bilion. Nilai ini mewakili 13.5 peratus daripada keseluruhan urus niaga di Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur (FBMKLCI).

Industri itu menjadi sangat menguntungkan sehinggakan syarikat-syarikat lain seperti Luster Industries Bhd, yang aktiviti utamanya dalam pembuatan dan penjualan plastik serta pemaju hartanah seperti Mah Sing Group turut sama mengembangkan operasinya dalam pembuatan sarung tangan getah.

Berapakah jumlah sarung tangan getah yang dihasilkan oleh negara kita?

Negara kita membekalkan 240 bilion sarung tangan getah ke seluruh dunia, menampung hampir 70 peratus daripada 360 bilion helai permintaan global pada tahun lalu. Setakat Oktober tahun lalu, jumlah eksport barangan Malaysia meningkat sehingga RM91.1 billion dengan sarung tangan getah merupakan penyumbang utama menerusi peningkatan eksport sekitar RM2.9 bilion atau 183.8 peratus.

Pasaran utama bagi eksport sarung tangan getah Malaysia, Amerika Syarikat telah meningkat hampir 84 peratus daripada RM6.47 bilion pada 2019 kepada RM11.89 bilion pada 2020. Pasaran utama lain bagi produk berkenaan turut mencatatkan peningkatan eksport yang memberangsangkan iaitu Jerman sebanyak 82 peratus, Jepun pada kadar 84 peratus, United Kingdom sebanyak 201 peratus dan China sebanyak 146 peratus.

Top Glove, yang menguasai 26 peratus bahagian pasaran sarung tangan getah di dunia dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 80.2 bilion helai sarung tangan, menyaksikan prestasi sahamnya melonjak lebih daripada 400 peratus sepanjang tahun lalu.  Pengeluar sarung tangan getah itu turut mencatat keuntungan bersih suku tahun terbaik sebanyak RM1.29 bilion dalam suku keempat berakhir pada 31 Ogos 2020, iaitu hampir 18 kali lebih tinggi daripada RM74.17 juta yang diraih pada suku sama tahun lalu.

Keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Ogos 2020 mencecah RM1.86 bilion yang merupakan lonjakan sebanyak 417 peratus berbanding tahun lalu. Perolehan hasilnya juga meningkat kepada RM7.23 bilion daripada RM4.8 bilion pada tahun lalu.

Bagaimanakah masa depan industri sarung tangan getah selepas vaksinasi global?

Sebelum pandemik melanda, negara kita sudah pun menguasai 62 peratus daripada pasaran sarung tangan getah di peringkat global. Pada tahun 2019, sektor sarung tangan getah menyumbang RM17 bilion kepada pendapatan negara. Sarung tangan getah merupakan antara peralatan perubatan yang penting bagi menghalang sebarang transmisi penyakit berjangkit seperti HIV, serta digunakan secara meluas di dalam bidang perubatan. Industri getah terutama sektor sarung tangan, telah lama berkembang sejak tahun 1980-an di Malaysia.

Biarpun program vaksinasi dijalankan secara global, permintaan terhadap sarung tangan getah dijangka masih kekal tinggi. Ini didorong oleh pelbagai faktor, antaranya masa yang diperlukan oleh sesebuah negara untuk mencapai immuniti kelompok hasil program vaksinasi, disamping penghasilan vaksin yang sudah tentu mengambil masa untuk memenuhi permintaan di seluruh pelusuk dunia.

Artikel lain berkaitan bisnes ketika pandemik yang boleh dibaca.

Pemegang Saham Top Glove Terima Dividen Hampir RM1 Bilion

4 Tauke Syarikat Pengeluar Sarung Tangan Getah Yang Semakin Kaya