Sebuah restoran burger, Burgertory, mendedahkan ketidakadilan yang dilakukan oleh GrabFood kepada peniaga bisnes makanan yang kecil.

Dalam satu kenyataan yang ditulis di Facebook page mereka, Burgertory mendakwa GrabFood sengaja menyenaraikan restoran mereka sebagai ‘unavailable’ kerana memberi GrabFood kadar komisen yang rendah.

“Kami sangat kecewa dan sedih dengan GrabFood. Kami sudah bersama dengan GrabFood lebih setahun sekarang, dan kami tak pernah buat masalah.

“Tapi baru-baru ini kami dapat tahu GrabFood berlaku tidak jujur ketika menyenaraikan kesediaadaan (availability) restoran dalam radius jarak tertentu.

“Kami menerima banyak aduan daripada pelanggan kami yang berkata GrabFood sentiasa tidak menunjukkan kesediaadaan kami untuk membuat penghantaran makanan dalam jarak radius yang munasabah.

“Kami ingatkan ia disebabkan oleh sistem GrabFood yang hanya membenarkan penghantaran makanan dalam jarak spesifik di sesebuah kawasan.

“Pada 26 Mei 2020, kami diberitahu oleh staf kami bahawa GrabFood tidak menyenaraikan kesediaadaan restoran kami membuat penghantaran. Bayangkan jumlah jualan yang kami hilang pada masa wabak COVID-19 di mana semua perniagaan terjejas.

“Jualan kami melalui GrabFood pada hari itu adalah KOSONG. Selepas memeriksa sendiri, barulah kami sedar restoran lain di kawasan kami berniaga tersenarai kesediaadaannya di GrabFood. Tapi kami tak.

“Jadi kami menghubungi GrabFood melalui live chat. Mereka memberitahu yang mereka sengaja tidak menunjukkan kesediaadaan restoran kami kerana kadar komisen kami yang rendah.

“Ini bermakna restoran yang bagi komisen tinggi kepada GraFood akan diberi keutamaan dan kesediaadaan di lebih banyak tempat. Selepas itu, barulah mereka menunjukkan kesediaadaan restoran kami.

“Kami sangat marah dan kemudiannya bercakap dengan pengurus. Pengurus tersebut menjelaskan restoran yang memberikan komisen tinggi akan ditunjukkan sediaada di lebih banyak tempat di GrabFood.

“Ini merupakan diskriminasi terhadap bisnes kecil yang menjual makanan murah. Kami memberitahu GrabFood bahawa perkara ini tak boleh diterima.

“Pengurus tersebut berjanji akan berbincang dengan pihak pengurusan dan menghubungi kami semula. Kini seminggu sudah berlalu dan kami tak terima apa-apa panggilan pun.

“Hari ini (4 Jun) benda sama terjadi lagi. Kami perasan GrabFood memadam kesediaadaan kami selepas melihat sendiri dalam aplikasi. Kami menulis aduan sekali lagi, dan mereka memberi respons sama lagi.

“Kami sangat kecewa dengan kerjasama sebegini. Adakah ini bermakna kami kena selalu periksa kesediaadaan restoran kami di GrabFood?

“Kejadian ini membuatkan kami tak percaya dengan mereka. Kami tak tahu bila sistem mereka akan mendiskriminasi kami semula dan menyenaraikan kesediaadaan kami bila dah kantoi. Ini tak adil untuk bisnes kecil dan sederhana.”

Berdasarkan respon di bahagian komen kenyataan ini, Grab nampak seperti sudah maklum, Bagaimanapun tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Grab setakat ini.

Baca juga artikel lain yang berkaitan: