Bank Dunia melaporkan cabaran utama dihadapi ekonomi sepanjang pandemik Covid-19 ini adalah muncul kumpulan miskin baharu iaitu miskin bandar. Kemiskinan boleh merujuk kepada fenomena kekurangan dari pelbagai sudut dan dimensi.

Menjadi miskin akan menyebabkan seseorang akan beranggapan mereka diketepikan daripada proses membuat keputusan dalam masyarakatnya sendiri, didiskriminasi daripada masyarakat, hilang rasa kesepunyaan kepada masyarakat dan menjurus kepada menjadi mudah terdedah kepada aktiviti jenayah.

Pendapatan keluarga di bawah RM2216? Anda layak dibantu di Kuala Lumpur.

Kredit gambar: https://moneycompass.com.my/bm/2020/08/07/momentum-bagi-ringgit-terus-meningkat/

Data e-Kasih yang terkini menunjukkan jumlah penduduk miskin dan miskin tegar di Kuala Lumpur meningkat kepada 10,200 keluarga. Daripada jumlah ini, 6,800 keluarga berada dalam kategori miskin dan 4,400 keluarga dalam kategori miskin tegar.

Nilai Pendapatan Garis Kemiskinan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur  mengklasifikasikan keluarga dengan pendapatan di bawah RM2,216 sebagai miskin dan RM1,110 ke bawah sebagai miskin tegar.

Melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pula, seramai 21,556 keluarga fakir dan miskin di Kuala Lumpur menerima bantuan kewangan melalui zakat dengan pengiraan had al-kifayah. Penentuan asnaf fakir dan miskin tidak tertakluk kepada jumlah pendapatan semata-mata, malah ia mengambil kira keperluan bulanan keluarga berdasarkan kadar yang ditetapkan.

Punca kemiskinan bandar yang diketahui

Kredit gambar: https://www.wilayahku.com.my/fokus-atasi-kemiskinan-bandar/

Jika dilihat secara lebih mendalam, kewujudan miskin bandar adalah adalah berpunca daripada proses urbanisasi yang berlaku terhadap kawasan bandar. Proses ini telah menyebabkan berlakunya migrasi penduduk luar bandar ke kawasan bandar.

Akibat daripada proses urbanisasi yang tidak terkawal yang telah berlaku, ia telah menyebabkan populasi penduduk yang tidak stabil dan ini telah menggugat kualiti taraf hidup masyarakat di bandar. Keadaan kemiskinan bandar di Malaysia menjadi semakin serius apabila berlakunya migrasi penduduk daripada luar bandar ke bandar bagi mencari peluang pekerjaan dan kehidupan yang lebih selesa berbanding di kawasan luar bandar.

Hal ini dilihat sebagai suatu keadaan yang kurang sihat apabila lambakan penduduk yang berlaku di dalam kawasan bandar menyebabkan berlakunya proses pembandaran yang kurang sihat antaranya; peningkatan kos sara hidup yang tinggi dan pengurangan keupayaan penduduk bagi memperoleh keperluan asas dan perkhidmatan dengan baik.

Di samping itu, menurut Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2017, sebanyak 39.6% rakyat Malaysia yang mendiami kawasan bandar hanya memiliki pendidikan sehingga peringkat sijil SPM berbanding 11% dan 37.% bagi mereka yang memiliki sijil peringkat Diploma dan Ijazah. Hal ini menunjukkan bahawa pendidikan masyarakat bandar di Malaysia masih berada di tahap yang rendah akibat daripada faktor kemiskinan yang telah menyebabkan mereka terpaksa mengorbankan hasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Tingkatkan kemahiran diri sebagai jalan keluar kemiskinan

Kredit gambar: https://m.newpages.com.my/bm/company/728595/news/62488/BENGKEL-LORI.html

Masalah ini bukanlah boleh diselesaikan dengan sekelip mata.  Nombor-nombor, fakta-fakta dan peratu-peratus di atas adalah dapatan yang dibentangkan bagi menunjukkan betapa besarnya masalah miskin bandar ini. Kerajaan silih berganti, pertubuhan demi pertubuhan, penderma selepas penderma kesemuanya hanya boleh memberikan panadol bagi menyelesaikan masalah yang timbul pada waktu tersebut sahaja.

Apabila kita soroti laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, sebenarnya yang lebih diperlukan adalah usaha untuk meningkatkan kemahiran diri. Sebagai contoh, seorang tukang sapu yang telah selesai bekerja selama sembilan jam sehari boleh menggunakan satu-dua jam selepas waktu kerja beliau untuk belajar teknik servis penyaman udara. Pemandu lori selepas habis waktu kerja, mungkin boleh belajar teknik membaiki kenderaan dari bengkel yang berdekatan dengan rumah.

Kemahiran yang diperolehi kelak membolehkan tukang sapu dan pemandu lori terbabit untuk memberikan penawaran servis kepada orang lain secara sambilan. Secara tidak langsung, ini akan menambahkan pendapatan mereka tanpa perlu mengganggu tugas seharian.

Apa yang penting adalah usaha gigih dan berterusan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan. 

Sumber: