Polis Thailand menambah tujuh buah kereta Tesla Model 3 dalam senarai kenderaan mereka. Penambahan tujuh kereta ini dianggarkan menelan kos 89 juta baht (sekitar RM12 juta) untuk kontrak leasing selama lima tahun.

Polis Thailand turut melaporkan Tesla Model 3 yang digunapakai oleh polis Thailand bukanlah varian biasa. Sebaliknya mereka menggunakan varian Performance yang lebih berkuasa.

Tesla Model 3 mempunyai tiga varians iaitu Standard Plus, Long Range AWD dan Performance.

Varian Performance boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat. Kelajuan paling tingginya adalah 270km/j. Apabila bateri kereta ini dicas penuh, ia boleh pergi sejauh 518km.

Tesla Model 3 turut mempunyai ciri Auto Pilot yang membolehkan ia dipandu tanpa pemandu. Ini kerana kereta ini dilengkapi dengan kamera di depan, sisi kiri, sisi kanan dan belakang untuk memberi sudut penglihatan 360 darjah.

Tidak cukup dengan itu, Tesla turut mempunyai radar beradius 160 meter untuk membantunya mengesan halangan di depannya dan 12 ultrasonic sensors untuk mengesan kereta berhampiran, mengelak kemalangan dan membantunya parkir.

Difahamkan kos yang dikeluarkan oleh kerajaan Thailand untuk mendapatkan kereta ini lebih mahal daripada kerajaan negara lain. Barangkali kos tersebut meliputi kos memasang kemudahan mengecas ketujuh-tujuh kereta ini.

Polis Thailand turut memasang komputer dan lampu bar di semua kereta baru tersebut.

Cuma apa yang pasti kos ini mungkin boleh dijustifikasi pada jangka masa panjang memandangkan kereta Tesla tiada kos bahan api. Kos penyelenggaraan pula lebih rendah berbanding kereta-kereta bukan elektrik.

Langkah menggunakan Tesla ini setidak-tidaknya seiring dengan visi kerajaan Thailand yang mahu mempromosikan penggunakan kenderaan elektrik untuk agensi kerajaan.

Pada Mac 2020 lepas, kerajaan Thailand memasang cita-cita untuk melihat 250,000 kereta elektrik, 3,000 bas awam elektrik dan 53,000 motosikal elektrik menjelang 2025.

Selain polis Thailand, antara polis-polis negara lain yang turut menggunakan Tesla adalah Amerika Syarikat, Kanada, Switzerland dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Baca juga artikel kami yang lain: