Menteri Pembangunan dan Kebudayaan Manusia Republik Indonesia, Muhadjir Effendy berkata kerajaan negara itu akan meminda cuti umum sempena Aidilfitri ke bulan Disember.

Langkah tersebut susulan kebimbangan terhadap ancaman penularan COVID-19 di republik tersebut.

Cuti umum dengan tarikh asal pada 26 hingga 29 Mei ini akan dibawa ke bulan Disember 2020 iaitu dari 28 hingga 31 Disember.

Menjadi tradisi kebiasaan penduduk Indonesia yang bekerja di bandar besar untuk kembali pulang ke kampung halaman sempena cuti panjang pada penghujung Ramadan untuk meraikan Aidilfitri.

Jika situasi yang sama berlaku tahun ini, kerajaan risau akan adanya kira-kira 20 juta rakyat yang akan berbuat demikian dan melanggar perintah larangan yang ditetapkan pihak berkuasa kesihatan di sana.

“Pindaan cuti ini adalah arahan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan tiada rayuan untuk mengembalikan pada tarikh asal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

joko-widodo-presiden-indoensia
Presiden Indonesia, Joko Widodo

Tambahnya lagi, “Peralihan cuti umum pada akhir tahun dipertimbangkan supaya penularan COVID-19 dapat ditangani dengan baik.”

Sementara itu, dua organisasi Islam terbesar di rantau Indonesia, Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah, turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil bahagian dalam ‘mudik’ atau tradisi pulang ke kampung itu.

Sungguhpun begitu, kerajaan Indonesia tidak melarang mudik atas faktor pertimbangan ekonomi, sebaliknya akan memberi bantuan sosial kepada golongan keluarga berpendapatan rendah.

Kementerian Kesihatan Indonesia telah merekodkan sebanyak 3,293 kes positif jangkitan COVID-19 dengan jumlah kematian menghampiri angka 300 manakala 252 pesakit sudah pulih sepenuhnya.

Baca juga artikel kami mengenai impak wabak COVID-19:

Sumber: