Toyota AE86 adalah kereta idaman setiap peminat kereta di Malaysia. Jadi apabila gambar kereta lama Toyota ini dikesan oleh seorang netizen di Bukit Jalil, ia perlu dikongsi di media sosial untuk ditatap dengan penuh syahdu.

Dan percaya atau tidak, harga kereta lama Toyota ini kini dianggarkan berharga tak kurang daripada RM100,000. Gila babi.

Sekarang anda mesti tanya: kenapa harga kereta lama ini mahal?

Jawapan kepada soalan ini bergantung sama ada anda kenal atau tak siri anime Jepun popular, Initial D. Jika anda pernah baca komik atau pernah tengok anime Initial D, anda mungkin faham kenapa Toyota Trueno AE86 ini mahal. Kalau anda tak pernah, anda kena baca lebih lanjut.

Asal-usul Toyota AE86

Ada orang panggil Toyota AE86. Ada orang panggil Toyota Trueno. Tapi semuanya merujuk kepada satu kereta sama iaitu Toyota Sprinter Trueno 2-door GT-Apex.

Mula dilancarkan pada tahun 1983, kereta ini berasal dari keluarga Toyota Corolla. Dalam keluarga Corolla, AE86 adalah generasi kelima. Dan ia juga merupakan kereta terakhir dalam keluarga Corolla yang menggunakan pacuan roda belakang (RWD: rear wheel drive).

Nama Trueno itu pula membawa maksud ‘petir’ dalam bahasa Sepanyol. Terma ‘AE86’ pula berasal kepada kod yang digunakan Toyota Jepun untuk merujuk pasal kereta ini. ‘A’ merujuk kepada jenis enjin kereta ini iaitu dari siri 4A. ‘E’ pula merujuk kepada model Corolla. ‘8’ merujuk kepada generasi kelima (siri E80) dan ‘6’ pula merujuk kepada varian keenam dalam generasinya.

Toyota AE86 tak cool

Sekarang memang orang cakap AE86 ini cool. Tapi masa ia dikeluarkan pertengahan tahun 80-an dulu, AE86 langsung tak cool.

Pada zaman orang lagi gilakan Nissan Skyline GT-R, Mazda RX-7, Honda NSX dan Toyota Supra, Toyota Corolla memang tak dipandang sangat oleh mat-mat kereta.

Embed from Getty Images

Kereta-kereta lain mempunyai kuasa yang lebih dan rekaan yang lebih lawa. Dalam keluarga Toyota sendiri pun, Corolla bukan kereta yang popular. Model Supra dan MR2 jauh lebih popular bagi Toyota berbanding AE86.

Tapi orang tahun 80-an masih beli Corolla kerana tiga sebab: tahan lama, jarang rosak dan paling penting sekali – murah. Corolla merupakan kereta paling kecil dalam keluaran Toyota dan mengekalkan konfigurasi pacuan roda belakang sehingga awal 80-an.

Kelebihan #1: Pacuan roda belakang

Pada era 80-an, Toyota tak boleh nak abaikan kelebihan guna konfigurasi pacuan roda depan (FWD: front wheel drive). FWD lebih cekap, bagi lebih banyak ruang dalaman kereta dan lebih rendah kos pembinaannya. Jadi pada tahun 1984, Toyota keluarkan Corolla yang pakai FWD.

Walaupun Corolla dah tukar ke FWD, Toyota masih lagi minat nak buat Corolla yang pakai RWD. Mereka siap buat dua versi lagi: versi dua pintu coupe dan versi tiga pintu hatchback. Kemudian Toyota juga buat dua style. Pertama, style Levin yang yang lampu depannya kekal. Kedua, style Trueno yang lampu depannya boleh keluar masuk, keluar masuk.

Kelebihan #2: Enjin 4A-GE

Untuk melengkapkan generasi terakhir Corolla ini, Toyota letak enjin 4A-GE – salah satu enjin terbaik dalam dunia permotoran. Enjin 4A-GE direka untuk dua tujuan. Pertama, memberi kuasa kepada kereta kecil seperti AE86. Dan kedua, untuk berlumba.

Walaupun enjin 4A-GE hanya hasilkan 128 hp (kuasa kuda), keringanan AE86 (hanya 1,043kg) bermakna enjin tersebut mampu membuatkan kereta lain terpaksa ‘makan asap’ kereta ini.

Kelebihan #3: Keseimbangan

AE86 turut mempunyai keseimbangan yang bagus. Ini bermakna berat kereta ini disebarkan secara seimbang ke semua empat tayar. Ini membuatkan kereta ini lincah dan mudah dikawal.

Kelebihan #4: Suspensi

Untuk memecut pula, jurutera Toyota kena kreatif. Untuk kekalkan harga murahnya, AE86 tak boleh pakai suspensi belakang yang asing-asing (independent rear suspension) sebagaimana yang dipakai oleh kereta mahal.

Embed from Getty Images

Jadi jurutera Toyota pasang gandar belakang yang hidup (live rear axel) macam kereta muscle. Ini membuatkan AE86 senang memecut.

Terkenal untuk tiga tujuan

Semua kelebihan ini membuatkan AE86 popular untuk tiga tujuan: perlumbaan sirkit, perlumbaan rali dan drift.

Embed from Getty Images

Saiz AE86 yang kecil dan kendaliannya yang bagus membuatkannya seronok untuk dipandu di jalan raya Jepun yang berbukit-bukau.

Salah seorang penggunanya adalah Keiichi Tsuchiya, seorang anak muda Jepun yang mengasah skil ‘rempit’ beliau di jalan bukit setiap hari sampaikan beliau sukar ditewaskan oleh rempit lain.

Lama-kelamaan Tsuchiya menjadi terkenal dalam dunia lumba haram Jepun sebelum menjadi lebih terkenal lagi bila dia ditaja untuk berlumba secara profesional.

Yang uniknya disebabkan Tsuchiya terlalu banyak menang, beliau risau peminat akan jadi bosan. Jadi untuk bagi peminat teruja balik tengok perlumbaannya, Tsuchiya mula tunjuk skil drift beliau bila ambil corner.

Peminat sukan permotoran Jepun sangat sukakan skil drifting Tsuchiya, sampaikan dia berjaya yakinkan penaja untuk baginya duit untuk buat filem pasal drifting. Filem tersebut bertajuk Pluspy. Filem ini sangat popular di Jepun sehinggakan ia memberi inspirasi kepada Shuichi Shigeno untuk menghasilkan manga bertajuk Initial D.

Impak Initial D kepada Toyota AE86

Initial D adalah siri manga/anime berkisarkan kepada hidup budak 18 tahun bernama Takumi Fujiwara. Bapanya Bunta Fujiwara ada kedai jual tofu. Jadi Takumi kena tolong bapanya hantar tofu ke pelanggan. Dia menggunakan Toyota AE86 untuk hantar tofu tersebut.

Embed from Getty Images

Takumi pada mulanya tak suka memandu. Tapi cabaran memandu di jalan Gunung Akina dan berlumba haram dengan rempit membuatkan dia mula suka dengan dunia perlumbaan.

Initial D bukan sahaja menampilkan AE86 dalam jalan ceritanya. Kereta-kereta ikonik lain turut pernah masuk dalam jalan ceritanya seperti Mazda RX-7, Nissan GT-R, Subaru WRX STI dan banyak lagi.

Tapi disebabkan Initial D, AE86 menjadi sangat popular dalam kalangan peminatnya. Jadi pada pertengahan 90-an selepas Initial D keluar, ramai orang cari kereta AE86.

Adat dalam ekonomi – bila permintaan tinggi, harga barang akan naik. Ditambah pula dengan hakikat yang Toyota berhenti buat AE86 pada 1987, ia membuatkan AE86 jadi makin limited. Bila barang jadi limited, harga pun jadi mahal.

Maka sebab itulah harga AE86 di Malaysia mencecah lebih RM100,000 sekarang.