Injunksi Prohibitri atau Injunksi Mareva merupakan salah satu kaedah undang-undang yang boleh dipohon di mahkamah. Permohonan injunksi ini boleh dibuat atas alasan pembekuan aset dan hartanah bagi membolehkan kes atau prosiding perundangan berkaitan dilupuskan terlebih dahulu oleh mahkamah.

Dengan kata lain, permohonan ini dibenarkan sekiranya mahkamah berpuashati untuk menghalang defenden dari memindahkan hartanya keluar dari bidangkuasa mahkamah. Sekiranya perkara ini berlaku, berkemungkinan plaintif tidak dapat memperolehi apa-apa daripada perbicaraan kes tersebut kelak.

Permohonan ini sebenarnya timbul melalui satu kes Inggeris iaitu Mareva Compania Naviera SA v International Bulkcarriers SA [1980] 1 All ER 213. Kes pertama di Malaysia yang melibatkan injunksi ini ialah Zainal Abidin lwn Century Hotel Sdn Bhd.

Baru-baru ini, kes Injunksi Mareva menjadi terkenal apabila syarikat Mudajaya Corp Bhd berjaya memohon perintah tersebut terhadap bekas pekerjanya. Selain itu juga, semalam, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga dikenakan injunksi sama oleh 1Malaysia Development Bhd.

Contoh permohonan Injunksi Mareva

Kredit gambar: Facebook

Antara permohonan Injunksi Mareva yang terkenal adalah berkaitan syarikat Mudajaya Corp Bhd. Menerusi kes ini, plaintif iaitu Mudajaya Bhd berjaya meyakinkan mahkamah untuk meletakkan sekatan aset terhadap bekas pekerjanya iaitu Michael Chua Khain Keng.

Fakta kes menunjukkan bahawa Michael didakwa atas tuduhan melesapkan wang syarikat berjumlah RM72 juta. Ketika itu, Mudajaya sedang melaksanakan projek sub-kontrak yang bernilai RM720 juta.

Wang itu dikatakan telah disalahguna melalui beberapa transaksi berlapis dan berakhir di akaun-akaun yang dikawal oleh Michael dan isterinya. Beliau kemudiannya ditahan di Bangkok dan didakwa di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas tuduhan pecah amanah.

Datuk Seri Najib Tun Razak pula didakwa atas menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB. Selain itu juga, terdapat 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. Ketika ini, bekas Perdana Menteri tersebut sedang berdepan dengan empat pertuduhan di mahkamah.

Sebahagian daripada hasil terbitan bon sebanyak $3 bilion telah dipindahkan kepada tiga syarikat termasuk Tanore Finance Corporation (Tanore). Tanore juga didakwa telah memindahkan sejumlah US$681 juta ke dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak antara 21 Mac 2013 hingga 10 April 2013.

Bon tersebut sepatutnya dilaburkan ke dalam syarikat usaha sama 1MDB dan Aabar Investment PJS iaitu Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC).

Kesan kelulusan injunksi Mareva

Kredit gambar: The Edge Markets

Menerusi keputusan kes Mareva, ia telah membuka jalan kepada mahkamah untuk mengeluarkan injuksi bagi menjaga hak plaintif. Injunksi ini juga telah diperluaskan untuk merangkumi kes defenden yang berada di dalam dan luar negara.

Kesan injunksi ini ialah defenden akan dihalang daripada memindahkan atau mencairkan aset-aset yang berada di dalam pertikaian. Bagi kes Datuk Seri Najib pula, beliau hanya dibenarkan untuk menggunakan wang berjumlah RM100,000 sebulan dari akaun simpanannya.

Jumlah tersebut adalah saraan dan kegunaan bulanan yang dianggap berpadanan untuk dirinya sepanjang Injunksi Mareva tersebut dilaksanakan. Sekiranya beliau memerlukan wang lebih dari itu, bekas Perdana Menteri itu perlu memohon kepada peguam 1MDB.