Menteri Kesihatan Chile, Jaime Mañalich mengambil kira angka kematian wabak COVID-19 di negaranya sebagai kes sembuh kerana menurutnya mereka yang mati ‘tidak lagi membawa jangkitan’.

Bercakap dalam satu sidang media, Mañalich memberitahu:

“Kita ada 898 pesakit yang tidak lagi membawa jangkitan. Kami kategorikan mereka sebagai pesakit sembuh. Sebahagian daripada mereka ini adalah pesakit yang menjalani diagnosis selama 14 hari yang malangnya telah meninggal dunia.”

Media tidak tahu sejak bila Chile mula mencampur adukkan kes kematian dengan kes sembuh. Kerajaan Chile berkata pengiraan itu dibuat selepas mendapat pengesahan daripada pakar kesihatan antarabangsa.

Pakar perubatan di luar Chile sebelum ini memberitahu mayat pesakit COVID-19 masih boleh menjangkiti orang lain. Laporan di Thailand menunjukkan kes pertama di dunia di mana mayat pesakit COVID-19 menjangkiti beberapa orang lain yang menguruskan pengebumiannya.

Bagaimanapun WHO pula memberitahu kebarangkalian untuk mayat pesakit COVID-19 menjangkiti orang lain adalah ‘rendah’.

Ketika ini Chile mencatat lebih 7,500 kes positif COVID-19 dengan 82 daripadanya berakhir dengan kematian. 2,300 pesakit yang positif telah disahkan sembuh.

Kes COVID-19 pertama di Chile disahkan pada 3 Mac dan dibawa masuk oleh seorang doktor lelaki berusia 33 tahun yang baru balik dari Asia. Pada 21 Mac, wabak pandemik itu meragut nyawa seorang wanita berusia 83 tahun.

Pada bulan lepas, Presiden Chile Sebastian Piñera mengisytiharkan darurat selama 90 hari di seluruh negara sebagai cara untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Menurutnya, darurat tersebut dikuatkuasakan untuk mempersiapkan negara mereka menghadapi masa depan yang tak menentu.

Chile bertindak menutup sempadannya sejak Mac. Kira-kira enam juta penduduk ibu negaranya, Santiago, diletakkan di bawah perintah berkurung. Sekolah dan pelbagai tempat awam, termasuk pusat beli-belah, pawagam dan beberapa servis kurang penting telah ditutup.

Pada minggu lepas, Menteri Kesihatan Chile mengumumkan pesakit yang sembuh COVID-19 akan diberi sijil keluar hospital dan boleh dikecualikan daripada perintah kuarantin.

“Mereka yang diberi sijil keluar hospital bebas daripada sebarang perintah kuarantin dan sekatan jalan. Mereka boleh menggunakan peluang ini untuk membantu komuniti mereka yang dikuarantin kerana mereka tak boleh dijangkiti lagi,” kata Mañalich.

Sebelum ini Korea Selatan melaporkan terdapat 111 kes pesakit yang sudah sembuh, positif COVID-19 semula. Bagaimanapun pakar kesihatan menafikan laporan tersebut.

“Mereka bukan pesakit sembuh yang dijangkiti COVID-19 semula. Mereka adalah pesakit yang jangkitannya diingatkan dah hilang, tetapi sebenarnya tidak dapat dikesan,” kata seorang pakar ketika ditanya oleh TIME.

Pakar memberitahu respons antibodi yang disebabkan oleh serangan virus bermakna kebarangkalian bekas pesakit COVID-19 untuk positif semula tidak lama selepas sembuh, adalah rendah.

“Antibodi biasanya dihasilkan dalam badan pesakit sekitar 7-10 hari selepas serangan virus mula dikesan,” kata Vineet Menachery, pakar virus di University of Texas.

“Kalau pesakit dikesan positif selepas sembuh, ia bermakna keputusan ujian yang kata mereka sembuh dulu sebenarnya salah. Mungkin kualiti spesimen yang mereka ambil dikompromi dan mungkin ujian tak sensitif,” kata David Hui, pakar perubatan di Chinese University of Hong Kong.

Baca juga artikel kami lain yang mungkin menarik perhatian anda: