Malaysia memasuki fasa baharu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan memulakan vaksinasi kepada remaja. Program vaksinasi terhadap remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini, khususnya pelajar sekolah bermula hari ini.

Bagi sekolah yang mempunyai lebih 1,000 pelajar, proses vaksinasi akan dilaksanakan secara terus di sekolah masing-masing. Manakala, sekolah yang mempunyai kurang daripada 1,000 pelajar akan digabungkan dengan beberapa sekolah yang lain. Ini bagi memastikan program vaksinasi tersebut berjalan lancar.

Setakat ini, hanya vaksin Pfizer Bio-NTech mendapat kelulusan berstatus pendaftaran bersyarat oleh NPRA. Vaksin Sinovac pula sedang menunggu kelulusan. Program khusus untuk pelajar sekolah itu menyasarkan 80 peratus mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.

Sebelum ini, Sarawak telah memulakan pemberian vaksin kepada golongan remaja. Seramai 375 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Matang iaitu kumpulan pertama remaja menerima vaksin di negara ini.

Pendaftaran menggunakan portal Vaksin-Anak-Ku

Kredit gambar: Berita Harian

Program ini bakal membolehkan 3.2 juta orang remaja memperolehi perlindungan vaksin. Seramai 1.1 juta daripadanya adalah kalangan yang berusia 16 dan 17 tahun.

Pemberian vaksin ini mengutamakan remaja yang berumur 16 dan 17 tahun yang akan menduduki peperiksaan awam dan remaja dengan komorbid. Semua sekolah, institusi pendidikan, perlindungan dan pemulihan kerajaan dan swasta dimohon untuk mendaftarkan institusi masing-masing. Portal khas untuk pendaftaran tersebut bernama Vaksin-Anak-Ku telahpun dibangunkan oleh KKM.

Pada masa yang sama, ibu bapa dan penjaga kepada remaja disarankan untuk mendaftarkan anak mereka sebagai tanggungan di dalam aplikasi MySejahtera.

Pemberian vaksin untuk remaja di negara lain

Kredit gambar: Euro News

Pada bulan Mei yang lalu, European Medicines Agency (EMA) meluluskan pemberian vaksin kepada remaja berusia 12-15 tahun. Vaksin yang diluluskan adalah suntikan satu dos vaksin keluaran Pfizer Bio-NTech.

Denmark meluluskan pemberian vaksin untuk remaja 12-15 tahun, manakala Sepanyol untuk 12-19 tahun. Kedua-dua negara ini negara yang terpantas memberikan vaksin kepada remaja. Perancis juga telah memvaksin 66 peratus daripada remajanya.

Di benua Amerika pula, Amerika Syarikat dan Kanada sudahpun memulakan pemberikan vaksin seawal Mei. Mereka memberikan dua suntikan vaksin Pfizer dan Moderna. kepada remaja di negara masing-masing.