Naluri seorang pekerja servis penghantaran BungkusIt untuk memeriksa bungkusan roti canai berisi ganja yang perlu dihantarnya dari Petaling Jaya ke Setapak nyata menyelamatkannya daripada menjadi keldai dadah.
Ahmad Ezzuan Shah mengesyaki sesuatu tidak kena dengan bungkusan tersebut, barangkali kerana penerima memesan roti canai di Petaling Jaya. Sedangkan penerima duduk di Setapak.
Susulan pemeriksaan Ezzuan, nyata nalurinya betul kerana beliau menjumpai dadah jenis ganja tersorok di sebalik roti canai yang dibungkus.
Ezzuan kemudiannya terus melaporkan kejadian yang berlaku pada 13 April jam 5 petang itu di Balai Polis Gombak.
Hasil laporan Ezzuan itu, polis terus menyiasat dan berjaya menahan lima individu termasuk seorang pelajar kolej swasta berusia 19 tahun.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata tiga lelaki dan dua wanita itu ditahan dalam operasi lebih lima jam bermula 8.30 malam tadi di Setiawangsa dan Bangsar di sini.
Katanya, pelajar kolej swasta berusia 19 tahun yang memesan bungkusan makanan itu ditahan di Setiawangsa di sini dan suspek didapati positif dadah.
“Dua lagi lelaki ditahan di sebuah rumah di Bangsar kerana disyaki membekalkan bungkusan makanan berisi dadah kepada pelajar kolej itu.
“Turut ditahan dalam operasi itu adalah dua wanita berusia 63 dan 70 tahun yang berada dalam rumah itu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Arifai, pihaknya turut menemui satu ketulan mampat dan beberapa paket plastik kecil berisi dadah disyaki ganja di rumah suspek di Bangsar.
“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dilakukan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.”
Ketika ini pihak berkuasa sedang giat memeriksa isi kandungan bungkusan yang dihantar oleh pekerja servis penghantaran atas talian selepas timbul kes pemandu FoodPanda mengedar rokok seludup.
Penyalahgunaan kebebasan pergerakan yang diperolehi oleh pekerja servis penghantaran itu membuatkan pihak polis mula memeriksa kandungan hantaran setiap penghantar. Tindakan ini membuatkan beberapa cubaan mengedar dadah seperti syabu dan ganja menjadi gagal seperti dalam laporan kami ini.