WhatsApp membuatkan kerja perkongsian mesej (message forwarding) di aplikasi tersebut semakin sukar dalam kemaskini terbarunya. Ini adalah usaha terbaru mereka untuk membendung penyebaran berita dan informasi palsu.

Dalam era di mana maklumat tersebar dengan pantas, berita dan informasi palsu yang bermain dengan emosi pembaca mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk menjadi tular.

Baru-baru ini WhatsApp sekali lagi menjadi tumpuan media susulan penyebaran mesej teori konspirasi yang mengaitkan teknologi 5G dengan wabak COVID-19.

Sebelum ini aplikasi tersebut pernah bertanggungjawab mempengaruhi keputusan pilihanraya Brazil dan mengapi-apikan sentimen agama di India.

Kami juga pernah melaporkan mengenai satu mesej WhatsApp yang menjadi tular di Malaysia bahawa kononnya Presiden Itali menangis kerana Itali tidak bersedia menghadapi wabak COVID-19 di sebalik mempunyai kemudahan kesihatan yang bagus – disahkan palsu.

Sebenarnya gambar pemimpin menangis dalam mesej palsu tersebut bukanlah gambar Presiden Itali. Ia adalah gambar Presiden Brazil, Jair Bolsonaro.

WhatsApp lecehkan lagi kerja penyebar berita palsu

Sebelum ini pada awal 2019, WhatsApp sudah bertindak dengan mengehadkan jumlah perkongsian mesej dari 20 penerima kepada 5 penerima sahaja.

Dalam kemaskini terbaru ini, WhatsApp akan mengehadkan jumlah perkongsian ‘mesej tular’ kepada satu penerima sahaja. Di WhatsApp, mesej tular merujuk kepada mesej yang mempunyai label ‘anak panah ganda’ di atasnya.

Ini bermakna jika pengguna mahu kongsi mesej yang mempunyai label anak panah ganda kepada lebih daripada satu penerima, mereka perlu:

  1. pilih mesej,
  2. tekan forward dan
  3. pilih penerima secara satu persatu.

Ini merupakan usaha lebih drastik yang diambil oleh WhatsApp untuk membendung penularan mesej tular dengan mengehadkan jumlah penerima pada satu-satu masa.

Ia mungkin tidak akan menyelesaikan terus masalah penyebaran mesej palsu, tetapi setidak-tidaknya WhatsApp membuatkan kerja kongsi mesej tular menjadi semakin leceh dan sukar.

Kami telah menguji kemaskini terbaru ini di WhatsApp dan mendapati ia berfungsi dengan baik. Apabila kami cuba kongsi mesej yang berlabel anak panah ganda, WhatsApp hanya membenarkan kami untuk memilih satu penerima sahaja.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai WhatsApp: