Gergasi makanan Amerika Syarikat dan dunia Heinz merupakan syarikat yang sangat berjaya. Syarikat ini diasaskan oleh anak kepada imigran German, Henry John Heinz pada tahun 1869.

Pada asalnya, syarikat tersebut dinamakan sebagai Heinz Noble & Company. Ia bermula dengan perniagaan pembungkusan makanan. Syarikat tersebut dimulakan oleh Henry bersama-sama rakannya.

Perniagaan mereka dimulakan dari tingkat bawah rumah bapa Henry. Namun, Heinz Noble tidak mampu bertahan lama. Enam tahun kemudian, syarikat tersebut muflis.

Henry bagaimanapun tidak mudah berputus asa. Hanya setahun kemudian, beliau kembali membuka perniagaan baharu. Kali ini, F & J Heinz diasaskan bersama-sama abangnya John dan sepupunya Frederick.

Antara makanan keluaran pertama syarikat F & J Heinz ini ialah sos tomato. Resepi turun temurun sos tomato Heinz ini kekal menguasai 50 peratus pasaran sos tomato Amerika Syarikat sehingga hari ini. Henry kemudiannya membeli pegangan John dan Frederick dan menukar nama syarikatnya kepada H.J Heinz Company.

Melawan Great Depression dengan sup segera

Kredit gambar: Toronto Star

Selepas kematian Henry pada tahun 1919, H.J Heinz Company diambilalih oleh anaknya Howard. Pada tahun 1929 hingga penghujung 1930, Amerika Syarikat mengalami kejatuhan ekonomi yang sangat dahsyat.

Kejatuhan ekonomi ini digelar sebagai Great Depression oleh penganalisa ekonomi. Sehingga abad ke-20, peristiwa ini masih terpahat sebagai kemelesetan ekonomi paling buruk pernah dialami oleh negara tersebut.

Ketika kemelesetan ini, KDNK dunia jatuh sehingga 15 peratus. Amerika Syarikat juga mengalami pengangguran sehingga 23 peratus, tertinggi dalam sejarah. Namun, Heinz bertahan dengan idea yang sangat ringkas tetapi bermakna.

Ketiadaan pekerjaan menyebabkan orang ramai sukar untuk membeli makanan. Howard tampil mencipta sup segera yang mudah disediakan dengan menggunakan serbuk bancuhan. Selain itu juga, Heinz mula mengeluarkan makanan bayi yang sedia untuk dimakan.

Kedua-dua ciptaan ini dijual dengan harga yang berpatutan. Ia akhirnya berjaya membantu syarikat Heinz melawan kejatuhan ekonomi sewaktu Great Depression.

Dibeli oleh dua orang bilionair

Kredit gambar: Rebellion Research

Perniagaan Heinz terus berkembang maju sehingga ke abad-20. Sepanjang tahun 1981 hingga 1991, Heinz berjaya membuktikan keunggulan jenama mereka. Syarikat makanan ini kekal untung melebihi 28 peratus berbanding syarikat-syarikat yang diberikan rating oleh Standard & Poor’s.

Selepas tahun 2000, kelahiran gergasi pasar raya seperti Walmart mula memberikan saingan kepada Heinz. Ini kerana, harga barangan keluaran mereka mula memiliki saingan yang lebih kompetetif.

Ini bagaimanapun tidak memperlahankan rentak Heinz. Pada tahun 2013, syarikat Heinz dibeli oleh 3G Capital dan Berkshire Hathaway Inc dengan nilai $23 bilion. Pembelian tersebut dianggap sebagai perjanjian pembelian terbesar dalam sejarah industri makanan.

Kedua-dua 3G Capital dan Berkshire Hathaway memiliki pegangan sama rata terhadap H. J. Heinz Company dengan nilai $72.50 sesaham. Sebagai syarikat multinasional yang berjaya di Brazil, Warren Buffett meletakkan kepercayaan kepada 3G Capital untuk menjalankan operasi syarikat.

Dua tahun kemudian, Warren Buffett menyusun penggabungan Heinz dengan Kraft. Kraft Heinz Company (KHC) kemudiannya menjadi syarikat kelima paling besar di dunia dengan jumlah jualan tahunan mencecah $26 bilion pada tahun 2020.