Kementerian Kerja Raya (KKR) akhirnya mengumumkan bahawa transaksi tol selepas 15 Januari 2022 akan menggunakan sepenuhnya teknologi RFID. Kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih diteruskan buat ketika ini, namun kedua-duanya akan dihentikan secara berperingkat.

Buat masa ini, sistem RFID ini dikhususkan buat kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dan di beberapa buah lebuh raya terpilih sahaja. Selepas ini, ia akan digunapakai di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor.

Dengan pelaksanaan penuh tersebut, ia akan menjadikan lorong RFID tersedia di seluruh jaringan infrastruktur lebuh raya bertol di pantai barat Semenanjung. Sebelum ini, lorong RFID hanya tersedia di beberapa buah lebuh raya terpilih sahaja.

Ini fakta menarik tentang sistem RFID yang anda perlu tahu.

Bagaimanakah tag RFID ini berfungsi?

Kredit gambar: Soya Cincau

RFID Touch ‘n Go adalah sistem pembayaran elektronik yang menggunakan pelekat pengenalan frekuensi radio untuk melalui plaza tol. Semasa kenderaan melalui tol tersebut, pengimbas akan mengesan frekuensi radio dari Tag RFID. Tag ini kemudiannya akan dihubungkan dengan Touch ‘n Go eWallet milik pengguna lebuh raya di mana kadar tol akan ditolak secara automatik.

Teknologi berbeza antara RFID dengan SmartTAG, kerana SmartTAG menggunakan imbasan infrared. RFID Touch ‘n Go menggunakan tag yang dipasang pada kereta anda dan diimbas semasa melakukan transaksi.

Maka, anda tidak perlu lagi untuk mengeluarkan kad Touch ‘n Go dan mengimbas secara manual. Masalah tercari-cari peranti SmartTAG di dalam kereta juga akan dapat diatasi.

Selain itu juga, tag RFID ini mempunyai ketahanan selama lima tahun. Tiada lagi penukaran bateri mahupun penyelenggaraan diperlukan seperti penggunaan peranti SmartTAG.

Kelebihan penggunaan tag RFID

Kredit gambar: Paul Tan

Kelebihan penggunaan tag RFID ini adalah ketersambungannya dengan Touch ‘n Go eWallet milik pengguna. Maka, urusan tambah nilai hanya semudah beberapa saat sahaja.

Selain itu juga, kesesakan lalu lintas juga dijangka dapat dikurangkan dengan penggunaan RFID. Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya untuk menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j.

Pelekat RFID diperbuat daripada bahan tahan lasak yang tinggi yang boleh menangani pelbagai keadaan cuaca. Mengikut jaminan syarikat pengeluar, tag tersebut mampu bertahan dari suhu serendah 20°C sehingga suhu tertinggi sehingga 55°C. Maka, tiada sebarang penyelenggaraan diperlukan. 

​Tag ini boleh didapati di Touch ‘n Go eWallet, Portal Touch n Go, Shell, Lazada, Shopee atau Pusat Pemasangan RFID Touch ‘n Go berhampiran anda.