Isu kesihatan disebabkan ketagihan rokok sudah lama dikaji oleh pakar perubatan di seluruh dunia. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 1 daripada 10 kematian di dunia adalah disebabkan oleh rokok. Tanpa sebarang campur tangan oleh pihak berkuasa, WHO menganggarkan jumlah kematian akibat rokok akan meningkat kepada 8.3 juta orang menjelang tahun 2030, kira-kira sembilan tahun dari sekarang.

Kajian WHO menunjukkan sebanyak RM5.751 trilion ($1.4 trillion) dibelanjakan oleh hospital dan pentadbiran kesihatan di seluruh dunia untuk mengubati penyakit yang disebabkan oleh perokok. Dari jumlah tersebut, hanya 38 buah negara mempunyai percukaian hasil tembakau yang tinggi untuk menampung masalah kesihatan berkaitan ketagihan rokok. Kini, terdapat 1.1 bilion orang perokok di seluruh dunia, mengikut kajian yang dibuat pada tahun 2019.

Pada tahun 2019, sebanyak 1.7 juta kematian dikaitkan daripada penyakit jantung akibat merokok, 1.6 juta kematian akibat penyakit paru-paru kronik, 1.3 juta akibat kanser saluran tekak, saluran pernafasan dan paru-paru, manakala 1 juta perokok lagi meninggal dunia akibat strok. Kajian juga menunjukkan separuh daripada perokok tegar meninggal dunia disebabkan penyakit yang dikaitkan dengan rokok manakala perokok mempunyai jangka hayat 10 tahun lebih pendek berbanding mereka yang tidak merokok.

Benua Asia mempunyai perokok paling ramai di dunia

Kredit gambar: https://www.techmezine.com/latest-medical-technology-news/one-in-a-three-men-will-die-of-smoking-in-china/

Hampir separuh daripada 1.1 bilion orang perokok di dunia tinggal di benua Asia. Di China, 42 peratus daripada lelaki dewasa menghisap rokok. Peratusan paling tinggi dicatatkan di Indonesia dengan 65 peratus lelaki dewasa mereka adalah perokok. Terdapat 120 juta orang perokok di India, mewakili 34.6 peratus lelaki dewasa di negara tersebut.

Filipina juga merupakan negara yang memiliki peratusan perokok yang tinggi, dengan 23.8 peratus penduduk dewasa di sana adalah perokok. Negara kepulauan tersebut juga memiliki perokok paling ramai dalam kalangan wanita di Asia Tenggara dengan 5.8 peratus.

Terdapat sembilan buah negara yang memiliki perokok teramai iaitu China, India, Indonesia, Rusia, Bangladesh, Jepun, Turki, Vietnam dan Filipina. Sekiranya ditambah dengan Amerika Syarikat, sepuluh negara ini dihuni oleh dua pertiga daripada perokok di seluruh dunia.

Fakta tentang ketagihan rokok di Malaysia

Kredit gambar: https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/01/02/over-rm170000-fines-imposed-on-smokers-including-minors-and-eatery-owners

Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa merokok adalah faktor risiko utama bagi penyakit bahaya dan menyebabkan 10 hingga 12 peratus kematian di Malaysia. Seramai 50 peratus golongan lelaki di Malaysia adalah perokok. Di Kuala Lumpur, nisbah antara perokok lelaki dan wanita di bawah umur 30 tahun adalah 5 berbanding 1 orang.

Di bangku sekolah pula, seramai 25 peratus dari pelajar sekolah berumur 15 tahun ke atas pernah mencuba-cuba menghisap rokok. Dari jumlah ini, seramai 70 peratus dari kumpulan ini akan menjadi perokok apabila meninggalkan bangku sekolah. Hanya 50 peratus daripada perokok ini mampu menjangkau umur 70 tahun.

Kajian firma peneraju kajian strategik pasaran, Euromonitor International meletakkan pasaran rokok seludup dan penjualan yang berleluasa di Malaysia sebagai terbesar di dunia. Hampir 65 peratus atau dua pertiga daripada keseluruhan pasaran tembakau di Malaysia adalah rokok tidak sah pada 2019.

Kajian oleh Tobacco Induced Diseases (TID) menunjukkan sekotak rokok di Malaysia secara puratanya berharga RM17.21 ($4.19). Kajian sama menunjukkan perokok membelanjakan hampir RM6,282.57 ($1,529.35) setahun untuk pembelian rokok. Secara puratanya, rakyat Malaysia membelanjakan RM1.5 bilion setiap tahun untuk membeli rokok.

Merokok adalah merbahaya untuk kesihatan

Kredit gambar: http://health.insuresavvy.com.my/en_US/smoking/

Merokok adalah sangat merbahaya untuk kesihatan. Klise, bukan? Bayangkan apabila kajian yang dilaporkan oleh Journal of the American Medical Association, 1 daripada 10 kematian di dunia adalah disebabkan oleh rokok.

Seramai hampir 7 juta orang perokok di seluruh dunia meninggal dunia kesan komplikasi kesihatan dari merokok. Sebagai perbandingan, Covid-19 meragut 3.8 juta kematian sejak kes pertama dilaporkan di Wuhan pada tahun 2019 hingga hari ini. Dari jumlah tersebut 6 juta adalah perokok aktif, iaitu mereka merupakan perokok dan 890,000 lagi merupakan perokok pasif yang tidak merokok tetapi tinggal berdekatan dengan perokok. Hampir 100 juta orang perokok mati pada abad ke-20 disebabkan penyakit disebabkan merokok seperti jantung dan kanser.

Antara kesan merokok kepada jantung dan saluran darah ialah menyempitkan saluran darah. Nikotin akan menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan secara tidak langsung menyekat dan mengurangkan kelancaran aliran darah. Ini menjejaskan fungsi jantung dalam membekalkan oksigen ke sel-sel jantung sendiri. Jantung yang diperbuat daripada otot memerlukan bekalan oksigen yang tinggi kerana jantung sentiasa bekerja untuk mengepam darah ke seluruh anggota. Keadaan ini boleh menyebabkan serangan jantung .

Kesan kesihatan akibat merokok yang lain adalah meningkatkan tekanan darah, melemahkan saluran darah dan menyebabkan saluran darah tersumbat. Kesemua kesan ini boleh menyebabkan strok atau dikenali di negara kita sebagai penyakit angin ahmar.

Merokok menambahkan risiko penyakit merbahaya seperti kanser paru-paru. Ia merupakan kanser paling kerap dialami golongan lelaki dan amat berkait rapat dengan tabiat merokok. Punca penyakit adalah asap rokok yang mengeluarkan hampir 4,000 bahan kimia beracun dan 53 dari bahan kimia ini boleh mengakibatkan kanser.

Bahan kimia beracun ini juga sebenarnya lebih tinggi di dalam rokok seludup.