Berita kononnya Presiden Itali menangis kerana Itali tidak bersedia menghadapi wabak COVID-19 di sebalik mempunyai kemudahan kesihatan yang bagus – disahkan palsu.

Beberapa hari lepas, mesej yang ditangkap layar beserta gambar seorang pemimpin menangis tersebar dalam kalangan pengguna WhatsApp di Asia, termasuklah pengguna di Malaysia.

Dalam mesej tersebut, tertulis kapsyen yang berbunyi:

“Lihatlah Presiden Itali menangis.”

“Itali mempunyai kemudahan kesihatan yang maju tetapi mereka gagal mengawal coronavirus kerana mereka mengambil mudah pada hari-hari awal. Hari ini Presiden mereka menangis kerana kekurangan ruang untuk mengebumikan mayat yang mati kerana [coronavirus]. 700+ mati dalam satu hari.”

Mesej yang bermula penyebarannya di Facebook telah dikongsi lebih 1,000 kali. Bagaimanapun post tersebut telah dipadam oleh Facebook Claim Check kerana gagal verifikasi berita benar.

Bagaimapun ia tidak menghalang daripada pengguna untuk menangkap layar mesej palsu tersebut dan menyebarkannya di satu lagi aset Facebook iaitu WhatsApp pula.

Itu gambar siapa?

Sebenarnya gambar pemimpin menangis dalam mesej palsu tersebut bukanlah gambar Presiden Itali. Ia adalah gambar Presiden Brazil, Jair Bolsonaro.

Presiden Brazil itu menangis ketika membuat ucapan pada 17 Disember 2019 dalam satu majlis kesyukuran di Palacio do Planalto.

Beliau menjadi emosional dan menangis selepas bercakap tentang anak perempuannya dalam ucapan.

Video ucapan Bolsonaro yang dimuat naik ke YouTube oleh akaun rasmi Palacio do Planalto pula menulis tajuk berikut: Presiden jadi emosional ketika berucap dalam majlis kesyukuran.

https://www.youtube.com/watch?v=QVBH5vBHBwg

Dalam deskripsi video tersebut, ia menyebut:

“Bolsonaro terkenang detik ketika beliau berada di hospital, selepas ditikam di Juiz de Fora, dan berdoa kepada Tuhan agar tidak meninggalkan anak perempuannya keseorangan.

Satu lagi video sama di YouTube yang dimuat naik oleh agensi berita Brazil, Folha Politica pula menulis:

“Bolsonaru menangis selepas terkenang detik hampir mati beliau. Saya tak mahu anak perempuan saya yang berumur tujuh tahun menjadi anak yatim”.

Jika anda tertanya-tanya siapakah Presiden Itali yang sebenar, gambar di bawah adalah gambar sebenar Presiden Itali, Sergio Mattarella yang sudah berkhidmat sejak tahun 2015.

Presiden Itali, Sergio Mattarella berucap dalam satu sidang European Central Bank pada Oktober 2019 lepas (Foto: European Central Bank)

Itali kini menjadi negara yang paling ramai korban COVID-19 iaitu sebanyak 6,077 kes kematian pada masa artikel ini sedang ditulis. Angka kematian ini jauh melebih angka kematian di China – negara asal wabak COVID-19 – iaitu sebanyak 3,277 kes.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai kesan wabak COVID-19 di Itali: