Situasi penularan wabak COVID-19 di Eropah ketika ini tidak menunjukkan sebarang tanda reda. Jika penularan wabak penyakit ini sudah mula perlahan di China, perkara sebaliknya sedang berlaku di Eropah.

Itali merupakan negara yang paling terjejas teruk dengan wabak COVID-19 ini. Ketika artikel ini ditulis, Itali sudah mencatat lebih 21,000 kes positif COVID-19 dan lebih 1,400 kes tersebut berakhir dengan kematian. Seluruh Itali sedang berada di bawah perintah berkurung ketika ini. Tiada orang dibenarkan keluar masuk Itali.

Situasi yang berlaku di Itali ini membuatkan ramai netizen ingin mengetahui sendiri apa yang sedang berlaku di sana. Di Reddit, seorang netizen mengemukakan soalan: Kepada mereka yang tinggal di Itali, macam mana situasinya dengan COVID-19 dan perintah berkurung?

Respons daripada netizen yang duduk di Itali nyata tidak mengecewakan.

1. Graduasi melalui Skype

“Saya berada di tahun akhir jurusan perubatan dan bergraduasi pada hari Khamis ini melalui Skype,” tulis seorang pelajar perubatan di Itali.

“Graduasi di Itali lain sedikit daripada graduasi di negara lain. Selepas menulis tesis, anda kena membentangkan tesis tersebut di depan profesor. Mereka akan bagi markah. Jika lulus, anda akan pakai lilitan bunga di atas kepala. Kemudian, anda akan tangkap gambar dengan keluarga dan meraikannya dengan parti. Ijazah akan diberikan pada kemudian hari.”

“Apa yang berbeza sekarang adalah disebabkan perintah berkurung, saya kena bentangkan tesis pakai Skype dari bilik saya sendiri. Jika lulus, tiada parti untuk saya.”

2. Selalu dengar bunyi ambulans dari pagi sampai malam

“Saya tinggal di wilayah Lombardy,” tulis MsMerdaccino. “Datuk saudara saya sudah meninggal dunia dan semua keluarga saya ada wabak ini. Semua orang hanya duduk rumah. Kedai semua tutup. Anda boleh dengar bunyi ambulans dari pagi sampai malam.”

“Kawan saya yang kerja pemandu ambulans tidak berhenti kerja sejak wabak ini merebak. Orang cakap penyakit ini macam flu biasa. Ya, ia macam flu. Tapi tanpa vaksin, ia sangat berbahaya. Saya ada kenalan yang berumur 40-an, demam panas selama dua minggu selepas positif penyakit ini.”

3. Kena tunjuk dokumen kepada polis jika keluar rumah

“Jika anda mahu pergi dari satu pekan ke pekan lain, anda kena tunjuk satu dokumen khas jika ada polis tahan anda,” dedah TrickiestLemon.

“Dalam dokumen ini, kami kena bagitahu siapa kami dan kenapa kami tidak berada dalam rumah. Anda boleh keluar rumah – tapi hanya untuk jumpa keluarga, hal kecemasan dan pergi kerja sahaja. Yang lain tidak dibenarkan.”

4. Doktor tak cukup topeng muka FFP3

“Saya seorang doktor di salah sebuah hospital terbesar di Rome. Situasi sebenar lebih teruk daripada apa yang dilaporkan di berita,” kata Bulletime.

“Kami takut kerana tiada bekalan topeng muka FFP3 yang cukup untuk melindungi kami. Tapi kami kena pergi kerja kerana ia tanggungjawab kami. Untuk kes pesakit selain COVID-19, kami akan tangguhkan rawatan jika tiada kecemasan. Keutamaan diberikan kepada pesakit COVID-19.”

5. Hospital dah sesak

CharlesOnReddit pula memberitahu hospital di kawasan rumahnya sudah tidak boleh menerima pesakit baru lagi kerana kesesakan pesakit.

“Benda yang paling merisaukan adalah dengar jumlah pesakit dan kes kematian setiap hari. Kami diberitahu hospital sudajh tak boleh terima pesakit baru lagi dah. Jururawat dan doktor juga sampai jatuh sakit sekali. Jika anda kena pergi hospital kerana penyakit selain COVID-19, anda akan disuruh balik.”

6. Iklan di TV banyak ajar suruh basuh tangan

Seorang pelajar sekolah di Itali memberitahu kerajaan Itali sedang galak mendidik rakyatnya tentang kepentingan membasuh tangan melalui iklan di TV.

“Sekolah ditutup. Tapi setiap hari kami akan menerima video pembelajaran 3 jam. Bila buka TV pula, ada banyak iklan suruh basuh tangan dan elakkan menyentuh orang lain.”

7. Semua orang ada kenalan yang dah positif COVID-19

“Saya seorang pelajar yang tinggal di Emilia Romagna. Sekolah dah tutup 3 minggu. Semua orang terkurung dalam rumah. Semua orang dah mula ada kenalan yang positif penyakit ini (makcik saya ada virus ini),” tulis Yabboi_.

“Ramai orang sedang takut. Tapi ramai juga orang masih relaks – terutamanya orang dari wilayah selatan kerana virus itu masih baru di sana. Di wilayah utara, dah beribu kes dah.”

8. Restoran mesti ditutup selepas jam 6 petang

QueenDiva9 memberitahu walaupun restoran masih dibenarkan dibuka, ia mesti ditutup selepas jam 6 petang.

“Saya ada anak perempuan yang duduk di Saronno, tapi bekerja di Milano. Dia kata majikannya tak bagi dia datang kerja. Restoran jadi lengang. Tapi ia mesti ditutup selepas jam 6 petang. Tempat duduk restoran pula kena ada jarak 1 meter. Kawasan pelancongan seperti Duomo di Milano pun lengang.”

9. Ramai perantau balik kampung

Daltanious pula ada cerita kelakar. “Saya duduk di selatan Itali. Ketika ini saya tengah tunggu virus COVID-19 merebak seperti di utara Itali.”

“Banyak orang bodoh cepat-cepat balik kampung mereka di selatan Itali selepas kerajaan mengumumkan Lombardia sebagai zon merah. Mereka ingat bila mereka balik kampung, mereka akan selamat. Kini Perdana Menteri baru sahaja umumkan seluruh Itali sebagai zon merah.”

10. Kentut untuk cover batuk

Ini lagi kelakar. Scjefin menulis:

“Selalunya dulu kami akan batuk untuk cover bunyi kentut. Sekarang kami kentut untuk cover bunyi batuk.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai impak wabak COVID-19 kepada masyarakat dunia: