Suhu terpanas di dunia iaitu 54.4°C telah tercatat di Taman Negara Death Valley, California, Amerika Syarikat (US) pada Ahad, 16 Ogos 2020. Rekod suhu ini telah disah dan diverifikasi oleh US National Weather Service.

Rekod suhu ini dicatat ketika pantai barat US dilanda gelombang haba yang mencetuskan keputusan bekalan elektrik selama dua hari di California selepas sebuah stesen janakuasa rosak pada Sabtu, 15 Ogos lepas.

Berapa rekod suhu terpanas sebelum ini?

Baca suhu terpanas pada 16 Ogos 2020 itu dicatat di Furnace Creek, Death Valley. Sebelum ini rekod suhu terpanas di dunia juga direkodkan di tempat sama iaitu 54°C pada tahun 2013.

Sebelum ini ada dakwaan rekod suhu terpanas di dunia di tempat lain iaitu 55°C di Tunisia pada tahun 1931. Bagaimanapun pakar cuaca menolak rekod tersebut kerana cara rekod suhu pada ketika itu ‘mempunyai isu kredibiliti yang serius’.

Apa ceritanya dengan gelombang haba?

Gelombang haba di US ketika ini berlaku dari Arizona di barat daya US hinggalah ke pesisir Washington di barat laut US.

Gelombang haba ini dijangka akan berterusan sehingga esok (Rabu waktu Malaysia) sebelum suhu turun pada hujung minggu. Bagaimanapun gelombang haba ini dijangka akan berterusan sekurang-kurangnya sehingga 10 hari lagi.

Kesan daripada gelombang haba ini turut mencetuskan kemunculan ‘taufan api (firenado)’ seperti yang telah berlaku di Lassen County sbeelum ini.

Taufan api yang berlaku di Lassen County pada minggu lepas (Foto: Reuters)

California’s Independent System Operator (CISO) yang mengurus sistem janakuasa di negeri itu telah pun mengumumkan amaran Peringkat 3 yang bermaksud ‘permintaan bekalan elektrik melebihi kapasiti bekalan’.

Disebabkan California banyak bergantung kepada tenaga solar dan angin untuk menjana elektrik, stesen janakuasa mereka berisiko untuk rosak akibat permintaan bekalan yang tinggi akibat penggunaan penghawa dingin yang berpanjangan ketika gelombang haba.

Untuk mengelak kerosakan stesen janakuasa, pihak berkuasa California telah membuat jadual pemutusan bekalan elektrik kepada penduduk.

Apakah kesan gelombang haba?

Pihak berkuasa US mendefinisikan gelombang haba sebagai tempoh dua hingga tiga hari yang mencatatkan suhu melebihi 32°C dan kelembapan tinggi.

Centers for Disease Control and Prevention (CDC) berkata gelombang haba telah membunuh lebih ramai orang di US berbanding kejadian cuaca ekstrim lain seperti taufan.

Gelombang haba boleh menyebabkan stesen janakuasa rosak, sekaligus menyebabkan keputusan bekalan elektrik. Selain itu ia juga boleh menghalang kapal terbang daripada terbang, mencairkan jalan dan menyebabkan barangan dalam kereta menjadi terlalu panas.

Gelombang haba juga boleh memberi kesan teruk kepada sektor pertanian – dengan menyebabkan sayur menjadi layu dan menggalakkan penyebaran penyakit tumbuhan.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: