Seorang lelaki di Klaten, Jawa Tengah nekad mahu jual buah pinggang selepas kehilangan punca pendapatan dan terdesak memerlukan wang segera untuk menyara keluarganya.

Frans Larry Oktavianus, sebelum ini bekerja sebagai pencuci kereta di Jalan Kaliurang, Yogyakarta. Manakala isterinya pula merupakan seorang suri rumah sepenuh masa.

Larry juga mempunyai empat orang anak yang masih kecil.

Dengan pendapatan yang sederhana, Larry hampir terduduk apabila dia kehilangan kerja sebaik pihak pentadbiran mengumumkan perintah larangan bekerja.

Menurut laporan Detik News, Larry yang tinggal di Kampung Karangasem berjalan kaki ke Semarang semata-mata mahu jual buah pinggang beliau kerana kesempitan hidup. Sambil itu, beliau menggantung satu poster tulisan tangan di dadanya yang bertulis mesej:

“Berkah Dalem, maaf saya Frans Larry O ingin jual ginjal untuk nafkahi keluarga saya, melunasi hutang, pendidikan, kesehatan, tempat tinggal, makan agar keluarga saya tak diremehkan. Maaf saya bukan mengemis.”

Menurut Larry lagi dia terdesak untuk menjual buah pinggang kerana itu sahaja jalan yang ada baginya menyelesaikan hutang dan juga demi kelangsungan hidup keluarganya.

“Kemarin saya udah dirumahkan karena pekerjaan sepi setelah corona. Padahal ada utang yang harus saya bayar, untuk makan dan kebutuhan.”

Dihalang isteri

Larry juga mengaku dia tidak tahu berapa sebenar harga buah pinggang di pasaran, tapi tahu ianya berharga tinggi.

“Harganya berapa saya tidak tahu sebab hanya itu yang berharga dan masih tersisa dari diri saya,” ungkap Larry sambil berlinang air mata.

Menurut laporan, isterinya melarang Larry untuk menjual buah pinggangnya. Walau bagaimanapun dalam keadaan sulit ini, Larry tiada pilihan lain dan lelaki ini yakin perbuatannya tidak menyalahi hukum.

Perbuatan Larry ini tular di media sosial di Indonesia dan akhirnya mendapat perhatian kerajaan.

Belum pun sempat buah pinggangnya dijual, Larry akhirnya mendapat bantuan sembako (sumbangan barang keperluan asas) dari Kapolres Klaten AKBP Wiyono Eko Prasetyo.

Selain itu beliau juga menerima bantuan lain termasuk Program Keluarga Harapan dan Kartu Indonesia Sehat (KIS).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai ragam-ragam di Indonesia:

Sumber: